SRI AMAN: Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pengundi di kawasan DUN
Simanggang tidak menjual undi mereka semata-mata untuk mendapatkan wang
sogokan.
Perdana Menteri berkata, masa depan pengundi adalah lebih bernilai
berbanding dengan wang ringgit yang cuba disogokkan oleh pihak-pihak
tertentu yang mahukan undi mereka.
Mereka perlu mengutamakan masa depan mereka semasa pilihan raya ini dan
bukannya menggunakan hak mereka untuk mendapat duit secara cepat.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Rumah Panjang Jegai Anak
Jawa, Kampung Purai, sebuah perkampungan masyarakat Iban di Undop,
kira-kira 40km, dari sini, Selasa.
Sebelum itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Simanggang, Datuk Francis
Harden Hollis, mendakwa telah menerima maklumat ada cubaan pihak
tertentu untuk menyogok pengundi di kawasannya agar tidak mengundi BN.
Beliau mendakwa pengundi khususnya di kawasan kaum Iban telah
ditawarkan RM100 setiap seorang untuk berbuat demikian dan akan ditambah
RM200 lagi selepas pilihan raya ini.
Sementara itu, Najib berkata, beliau yakin pengundi Iban di DUN
Simanggang bijak membuat pilihan mereka dan tidak mudah terjebak dengan
tawaran sedemikian.
"Orang Iban orang pahlawan. Orang yang ada semangat tinggi. Jadi kita
jangan jual maruah kita. Lebih penting (jangan gadai) masa depan kita,"
katanya.
Menurutnya, BN bukan hanya berjuang untuk memastikan kesejahteraan
generasi sekarang tetapi juga untuk merancang masa depan cemerlang untuk
generasi baharu.
Perdana Menteri, yang diiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir
Kujat, yang juga Anggota Parlimen Sri Aman, turut mengumumkan peruntukan
RM200,000 untuk beberapa projek bagi penduduk Rumah Jegai semasa majlis
itu.
Francis Harden, selaku penyandang, akan ditentang calon DAP, Leon Jimat
Donald, Norina Umoi Utot (PKR) dan calon Bebas, Ngu Piew Seng, dalam
pilihan raya negeri, Sabtu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan