ARIF ATAN
Pengurusan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dilihat tidak menyebelahi
pekebun dan penoreh sebaliknya seolah-olah terdapat permainan menjaga
keuntungan pihak tertentu, kata Pengarah Biro Tanah, Pertanian dan Luar
Bandar Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, Sulaiman Ibrahim.
"Purata pendapatan penoreh masih lagi berada di tahap terlalu rendah
walaupun diumumkan purata bulanan harga getah gred SMR 20 FOB berada di
paras RM5.50 sekilogram," katanya.
Pengumuman pemberian Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada penoreh,
ujarnya yang juga dikenali sebagai Leman Raja Lawan, bukanlah satu
langkah berkesan bagi membantu penoreh bawahan yang telah lama
menantikan kenaikan harga komoditi itu.
"Bahkan, tindakan mahu menghapuskan orang tengah hanya tertulis sudah
puluhan tahun tetapi tiada pelaksanaan seperti dijanjikan oleh LGM,"
jelas Ketua Amanah Parlimen Sik itu sebagai reaksi ke atas kenyataan
Unit Komunikasi Korporat LGM baru-baru ini.
Mengulas lanjut langkah LGM dalam menangani penurunan harga getah
terhadap penoreh termasuk menangguhkan kutipan ses getah, Leman berkata,
Amanah Negeri Kedah sedia berdialog dengan institusi itu bagi
membincangkan langkah sewajarnya untuk membebaskan penoreh daripada
kemiskinan tegar.
"Dialog bersama wakil Amanah Kedah dan LGM berkenaan isu SMR 20 FOB,
IPG dan fakta tepat yang menyeluruh berkenaan kelebihan meletakkan harga
lantai haruslah dibuat di hadapan rakyat iaitu penoreh supaya mendapat
penjelasan yang menyeluruh.
"Adakah ianya mampu mengubah nasib penoreh bawahan atau LGM tidak
sedar isu getah ini telah menyebabkan ramai penoreh di kawasan pedalaman
terjebak ke dalam peningkatan miskin tegar?" bidasnya.
Untuk rekod, Amanah Kedah sebelum ini telah beberapa kali menuntut
LGM melaksanakan harga lantai atau harga terendah yang munasabah iaitu
RM3.50 selaras mengikut keadaan ekonomi getah dunia.
LGM dalam kenyataannya di Berita Harian, 29 April lalu antara lain
berkata, kerajaan telah memberikan IPG sebanyak 40 sen, 50 sen dan 25
sen masing-masing untuk tiga bulan pertama tahun ini ke atas setiap
kilogram getah beku yang dikeluarkan pekebun kecil di Semenanjung.
"Berdasarkan purata pengeluaran getah beku sehektar sebanyak 3,000
kilogram setahun, IPG berupaya memberi pendapatan tambahan sebanyak
RM62.50 hingga RM125 sebulan.
"Sejak pelaksanaan IPG pada November 2015 sehingga kini, RM18 juta
dibayar kepada pekebun kecil dengan 93,365 jumlah tuntutan," dipetik
daripada kenyataan LGM itu.
Walau bagaimanapun, tinjauan Malaysia Dateline awal tahun ini di
sekitar Sik mendapati majoriti golongan penoreh pawah terutamanya
mengeluh kerana pendapatan mereka terjejas teruk iaitu kurang daripada
RM450 sebulan akibat kejatuhan harga getah sekerap.
Sejak akhir tahun 2015 juga, Amanah Sik telah mengenal pasti tidak
kurang daripada 197 keluarga penoreh berstatus miskin tegar di
kawasannya yang hidup dalam keadaan serba daif dan kekurangan makanan.
Dalam hal berkaitan, Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil
Malaysia (PKPKM) pada April lalu dilaporkan turut mendesak isu harga
getah diberi keutamaan dengan merombak sistem sedia ada kerana tidak
telus dan terdedah kepada manipulasi harga rasmi yang dihebah oleh LGM
selain harga getah rasmi Malaysia didapati lebih rendah berbanding nilai
di pasaran serantau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan