HALAMAN SANTAI

Selasa, 10 Mei 2016

'Mahathirisme' serah 10,000 tandatangan kepada Mahathir

Alyaa Azhar

LIHAT VIDEO DI SINI

 
Sekumpulan sukarelawan muda yang menggelar diri mereka 'Mahathirisme' hari ini menyerahkan 10,000 tandatangan untuk Deklarasi Rakyat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Perkasa Selangor Abu Bakar Yahya yang mengiringi kumpulan itu berkata para sukarelawan itu telah mengumpul tandatangan tanpa sebarang bayaran demi rakyat dan kepentingan negara.

Beliau juga mendakwa mereka melakukannya kerana sayang kepada Mahathir.

"Mereka pergi ke setiap warung, pasar malam, supermarket, rumah-rumah kenduri pun ada.

"Nak guna penyerahan (tandatangan) ini sebagai satu kenangan dalam hidup mereka, berhajat menyerahkan sendiri ke tangan Tun dan bergambar sebagai kenangan," kata Abu Bakar kepada pemberita selepas menyerahkan tanda tangan itu di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Bercakap bagi pihak kumpulan itu, Abu Bakar berkata ia akan meneruskan usaha untuk mendapatkan lebih banyak tandatangan walaupun sejuta tandatangan telah diperolehi.

Abu Bakar berkata Mahathirisme hanya berjaya menyerahkan 10,000 tandatangan, kebanyakannya dari Selangor disebabkan kekangan masa.

Anggota Mahathirisme Mohd Fahmi Huzairi dari Mentakab Pahang, berkata selain mengumpul tandatangan, kumpulan itu juga mahu rakyat berani menandatangani deklarasi itu.

"Selain kutip borang, (kami mahu) mencetus keberanian kepada rakyat, supaya berani tandatangan Deklarasi Rakyat, berani tulis nama penuh, IC sebab nak bagi kepada majlis raja-raja dengan cara telus," katanya.

Seorang lagi Hakim Nordin dari Bandar Tun Razak Kuala Lumpur, juga menggesa orang ramai melaksanakan hak mereka dengan menandatangani deklarasi itu.

"Ni bukan politik, ni hak anda sebagai seorang rakyat. Pohon kepada semua tolong laksanakan tandatangan Deklarasi Rakyat," katanya.

Selain Mahathirisme, Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) mengemukakan 3,500 tandatangan yang berjaya dikumpulkan mereka kepada Mahathir hari ini.

"Hakikatnya dah melebihi 100,000 tandatangan yang kita dapat daripada seluruh negara. Sekarang ini (Jumlah tandatangan) dari Johor, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Kedah belum kita dapat tahu.

"Walaupun dah capai sasaran, Tun kata teruskan kerana inilah satu-satunya cara untuk rakyat mengundurkan Najib," katanya.

Deklarasi Rakyat dimulakan oleh sekumpulan pemimpin terkemuka, termasuk Mahathir pada Mac lalu.

Kumpulan itu mensasarkan tandatangan 1 juta daripada orang ramai untuk diserahkan kepada Majlis Raja-Raja bagi menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.


Tiada ulasan: