Kuan Yau menjelaskan, beliau bukannya pelampau Cina
dan tidak anti-Melayu, sebaliknya beliau hanya anti ahli politik yang
korup dalam PBB dan BN.
PETALING JAYA: Bekas Ketua Publisiti Pilihan Raya DAP, Hew Kuan Yau mendakwa Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker bersekongkol dengan tentera siber UMNO untuk menuduhnya anti-Melayu.
Beliau dalam catatan terbaru di Facebooknya petang ini berkata, ucapannya tidak menggesa pengundi Cina Sarawak menyokong calon DAP di Batu Kitang untuk “screw” orang Melayu.
Sebaliknya, beliau mendakwa tentera siber UMNO sengaja memutarbelitkan hujah-hujahnya dalam bahasa Mandarin melalui penterjemahan tidak tepat bagi menghasut orang Melayu membenci DAP.
Kuan Yau menjelaskan, beliau bukannya pelampau Cina dan tidak anti-Melayu, sebaliknya beliau hanya anti ahli politik yang korup dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan BN.
“Mereka tukar perkataan PBB kepada Melayu. Itu putar belit. Sebenarnya saya tidak anti-Melayu, tetapi hanya maki puak PBB yang korup.
“Sekiranya saya anti-Melayu, takkan saya rayu pengundi di Batu Kitang tumpukan undi kepada calon Melayu dan tolak calon PKR yang berbangsa Cina,” tulisnya di Facebooknya hari ini.
Ucapan Kuan Yau yang disiarkan melalui Skype ketika beliau berkempen untuk DAP pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 minggu lalu pada mulanya dimuat naik ke laman sesawang Malaysia Today kendalian blogger, Raja Petra Kamaruddin.
Terdahulu, Lian Ker mengecam Kuan Yau memainkan sentimen perkauman ketika berkempen untuk calon DAP di Batu Kitang, Abdul Aziz Isa pada Jumaat lalu.
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA itu berpendapat, DAP sekadar parti berbilang kaum pada nama, tetapi hakikatnya mereka sering membangkitkan sentimen perkauman dalam kebanyakan ucapan mereka terutama apabila berdepan masyarakat Cina.
“Mereka tidak boleh bekerjasama dengan PAS dan kini mereka menghentam PKR. Hakikatnya mereka semakin sombong dan tidak boleh bertolak ansur dengan orang lain walaupun mendakwa parti itu berbilang kaum,” kata Lian Ker dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Aziz bagaimanapun kalah kepada calon BN, Lo Khere Chiang di DUN Batu Kitang.
Kuan Yau digelar Superman kerana beliau gemar memakai baju berlogokan adi wira itu.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan