HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Jun 2016

Dituduh hina TMJ, polis tahan nelayan atas bot

FREE MALAYSIA TODAY
 
 
Nelayan 46 tahun itu ditahan semasa berada di perairan Tenggara, Pulau Tioman


Wan-Ahmad_johor_polis_fb_00


JOHOR BAHARU: Seorang nelayan ditahan di atas botnya semasa berada di perairan Tenggara, Pulau Tioman hari ini kerana dipercayai menghantar mesej berbaur jelik dan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui laman sosial Facebook pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata bertindak atas maklumat, polis menahan nelayan berusia 46 tahun itu yang dipercayai pemilik akaun ‘Minah Pendek’ pada kira-kira 11 pagi tadi.

Beliau berkata pihaknya menerima dua laporan polis pada 8.20 pada dan 9 pagi Sabtu lepas berikutan penghantaran mesej jelik, menghina dan menyakitkan hati Tunku Ismail.

“Suspek didapati memuat naik mesej itu menerusi akaun Facebook atas nama ‘Minah Pendek’. Ekoran itu, kami membuka dua kertas siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata pihaknya turut merampas dua unit telefon bimbit bersama sim kad telefon bimbit daripada nelayan itu.

Nelayan itu akan direman esok untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.– BERNAMA

Tiada ulasan: