Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Berpedomankan keputusan pilihanraya kecil Sungai Besar dan
Kuala Kangsar, bolehkah dirumuskan bahawa kini Barisan Nasional (BN)
bertambah kukuh? Atau sebenarnya adakah pihak pembangkang – PAS dan
Pakatan Harapan – semakin lemah?
Hakikatnya ialah kedua-dua calon BN – Budiman Zohdi dan Mastura Yazid –
menokok berkali-kali ganda majoriti parti kerajaan itu berbanding undi
yang diperolehi oleh dua ahli parlimen yang terbunuh dalam nahas
helikopter 5 Mei lalu.
Datin Mastura Yazid mencatat majoriti 6,969 undi parlimen P.67 Kuala
Kangsar untuk mengisi kerusi Allahyarham suaminya, Datuk Wan Khair-il
Mohamad yang menang dengan majoriti 1,082 pada Pilihanraya Umum (PRU)
2013.
Beliau menundukkan calon PAS Dr Najihatussolehah Ahmad (5,684 undi )
dan wakil Parti Amanah Negara (PAN) Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883 undi).
Calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary mendapat hanya 54 undi.
Pencapaian Mastura ini adalah amat baik bila mengambil kira beliau
tidak boleh keluar berkempen kerana tertakluk pada hukum iddah. Ia juga
ia menyerlahkan kecekapan Umno-BN menggunakan teknologi maklumat
sepenuhnya.
Selain itu, ia menyaksikan juga kebenaran bidalan bagai “kuah tumpah ke
nasi” anak-anak lelaki Mastura yang ligat berkempen untuk ibu mereka
dan mahu menghidupkan legasi kepimpinan ayahanda mereka.
Kejayaan Budiman juga cemerlang. Berbanding Allahyarhamah Tan Sri
Noriah Kasnon, beliau mencatat majoriti 9.191 undi berbanding dengan
kemenangan Noriah pada PRU 2013 yang mencatat majoriti tipis 399 undi
sahaja.
Sebaliknya, segala cakap-cakap besar mereka “mampu membuat kejutan” PAS
dan PAN berakhir seperti tragedi dalam pilihanraya negeri Sarawak bulan
lalu bagi kedua-dua parti yang mendakwa berjuang atas wadah politik
Islam.
Budiman memperolehi 16,800 undi berbanding calon PAS Dr Abdul Rani
Osman yang memungut 6,902 undi dan calon PAN, Azhar Abdul Shukor yang
menerima 7,609 undi.
Prestasi PAN adalah mengecewakan mengambil kira bahawa ia mendapat sokongan lebih seratus daripada DAP dan PKR.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang sanggup menyarung kemeja-T berwarna jingga
PAN untuk meyakinkan pengundi Cina bahawa PAN adalah rakan sejati DAP.
Namun usaha yang kelihatan berpura-pura itu masih gagal menyanggah
kempen rakan Umno, MCA, bahawa PAN sebenarnya adalah PAS yang bersalin
warna kulit dari hijau ke oren sahaja.
Malah PKR juga berusaha berhabis-habisan dan sanggup mengenakan
‘gencatan senjata’ di antara kabilah-kabilah yang bertikai yang diketuai
Presiden dan Timbalan parti itu untuk membuktikan sokongan bulat pada
calon PAN.
Kepura-puraan itu dapat dihidu pengundi. Natijahnya walaupun PAS
bergerak sendirian, PAN dan konco-konconya itu tidak boleh mendakwa ia
lebih diterima oleh rakyat. Malah trend yang terzahir ialah PAN hanya
bidak DAP dan PKR sahaja.
Yang pasti pembangkang nampaknya kecundang kerana membelakangi formula
kemenangan yang telah teruji ampuh dalam dua PRU – 2008 dan 2013 –
strategi satu lawan satu. Kali ini kerana irihati dan ego, pembangkang
gagal mengelakkan pertembungan tiga penjuru.
Jika digabung undi pembangkang – Pas + PAN tentu ia akan mencemaskan
BN. Di Sungai Besar majoriti BN ke atas pembangkang hanya 2,289 sahaja
jika yang ditampilkan hanya seorang calon. Di Kuala Kangsar pula
majoriti BN boleh dikurangkan kepada 2,086 sahaja.
Malah jika ada tolak ansur dan kerjasama di antara PAS dan Pakatan
Harapan (PH) mungkin calon tunggal mereka akan meraih dividen sokongan
lebih besar kerana kelihatan berjiwa besar dan tidak menganggap
kedua-dua PRK ini sebagai satu eksperimen politik.
Persoalannya sekarang ialah, mampukah PH memperbaiki formula ‘satu
lawan satu’ ini untuk menghadapi PRU ke-14?. Bolehkah PH kurangkan ego
dan memberi penghormatan wajar pada PAS supaya terbuka pintu hatinya
kembali bersama DAP, PKR dan PAN?
DAP sebelum ini galakm menyerang pemimpin PAS tanpa adab. PAS bertindak
balas. Sikap buruk ini kemudian ditiru oleh timbalan presiden PKR,
Azmin Ali yang menyindir presiden PAS secara terbuka kononnya, Datuk
Seri Haji Abdul Hadi Awang tidak tahu apa yang berlaku dalam partinya
sendiri.
Jika tabiat buruk dan ego besar DAP dan PKR ini tidak dikikis, masa
depan pembangkang akan lebih suram. Rakyat tidak mahu ‘lari dari mulut
harimau dan terjun ke mulut buaya’.
Lebih baik mereka berkerajaankan BN yang bengis daripada pembangkang
yang angkuh dan tidak tahu menghormati rakan taulan sendiri.
Bagaimanapun jika perangkaan boleh bercakap tentu ia membisikkan orang
yang paling kecewa dengan keputusan dua PRK berkenaan ialah Tun Dr
Mahathir Mohamad yang mahu menjadikan PRK kali ini sebagai pungut suara
(referendum) rakyat.
Beliau mahu jika BN tumpas, ia boleh dijaja sebagai isyarat rakyat mahu
menukar kerajaan, terutama perdana menteri sekarang, Datuk Seeri Najib
Razak.
Ini tidak berlaku walaupun beliau yang mempunyai nama besar bukan hanya
sebagai perdana menteri paling lama memimpin Malaysia selama 22 tahun
dan mempunyai reputasi disegani di seluruh dunia, perancangannya kali
ini gagal.
Keputusan PRK berkenaan tidak mengabsahkan kempen Deklarasi Rakyat
malah sebaliknya memudaratkan peluang dan masa depan pembangkang kerana
“dipimpin” oleh seorang lelaki angkuh yang tidak segan mengaku dirinya
seorang diktator.
Faktor kecelaruan dalam barisan pembangkang adalah punca terbesar
kekalahan mereka dalam kedua-dua PRK. Parti-parti bekenaan perlu
membuktikan pada rakyat bahawa jika menang PRU 14 ia akan lebih berpadu
berbanding BN dan bukan berterusan dengan kesombongan.
Malah pembangkang perlu mengambil iktibar cara BN menguruskan masalah perbezaan pandangan di kalangan anggotanya.
Meskipun dihimpit ketidakselesaan berhubung isu natijah pembentangan
pindaan usul persendirian Rang Undang-undeang pindaan kuasa Mahkamah
Syariah, isu itu tidak melimpah ke dalam kempen PRK kali ini.
Kawalan diri dan ego dilakukan dengan baik. Ini amat berbeda dengan
politik bengis dan ego pembangkang yang menghamburkaqn ketidak selesaan
terhadap parti rakan yang lain secara terbuka mungkin ingin membuktikan
lebih demokratik.
Hakikatnya, PAN masih jauh malah tidak mungkin mampu menggantikan PAS
dan menghadiahkan undi Melayu pada pembangkang. Ini kerana segmen yang
“cinta Islam” dalam profil pengundi Melayu tidak tertarik dengan citra
PAN.
PAN perlu lebih zuhud dan mengutamakan soal melakukan kerja kebajikan
lebih banyak untuk rakyat. Ia harus menabur budi terlebih dahulu dan
bukan mendabik dada “pandai berpolitik dan bijak berdebat soal
demokrasi”.
PAS dan PH perlu menerima hakikat bahawa “nasi sudah menjadii bubur’ di
Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Jika mereka tidak mahu keadaan lebih
memburuk selepas PRU 14, belajarlah untuk lebih zuhud dan tawaduk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan