HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Jun 2016

Walaupun sukar, rundingan PAS-PAN tak mustahil berlaku - PKR

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
IJOK: PKR berpandangan tidak mustahil rundingan antara PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) dapat dilaksanakan, meskipun pada dasarnya ia dilihat amat sukar.
 
Menurut Naib Presidennya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, selagi dua parti berkenaan tidak menghentikan perbalahan, maka agenda utama pembangkang untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang tidak dapat dicapai.
 
"Harus lengkap-melengkapi hubungan di dalam PH antara PKR-DAP-Amanah (PAN), tapi dalam waktu sama PAN kena juga berunding dan berbincang semula dengan PAS.
 
"Walaupun ia mungkin satu perkara yang sukar, namun tidak mustahil. Ia perlu dan penting untuk rundingan antara parti-parti politik, terutamanya PAS dan Amanah (PAN). Kalau boleh selesaikan masalah secepat mungkin, ia lebih baik," katanya ketika ditemui Antarapos dalam satu temubual eksklusif.
 
Baru-baru ini Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyarankan PAS menimbang semula keputusannya sebelum ini untuk memulau Pakatan Harapan (PH).
 
Cadangan Menteri Besar Selangor itu dilontarkan setelah PAN dan PAS tewas dengan majoriti besar kepada BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar minggu lalu.
 
Kekalahan itu dikaitkan dengan perbalahan di antara PAS dan PAN.
 
Sebarang kerjasama antara PAS dan PH juga bertambah rumit akibat permusuhan politik antara PAS dan DAP yang menamatkan “riwayat” Pakatan Rakyat.  
  
PAS enggan menyertai PH namun beberapa kali menegaskan ia tetap menjadi parti pembangkang dan menubuhkan blok ketiga yang menjadi alternatif kepada BN dan PH.
 
Shaharuddin, ketika mengulas isu tersebut dengan lebih lanjut kekalahan dua parti pembangkang di dua PRK serentak itu harus dijadikan pengajaran, selain berusaha menemukan manfaat bersama PAS dan PAN dalam meraih undi di kalangan penyokong pembangkang.
 
Selain usaha dari PAS dan PAN untuk menggerakan rundingan, tambah Shaharuddin PKR juga akan memainkan peranan menjadi orang tengah dalam hubungan PAS dan DAP.
 
"Jika kelebihan itu dapat digabungkan semula, kita mungkin berhasil mewujudkan suasana yang baik. Kerana itu PKR memainkan peranan penting. Berkemungkinan sekarang ini DAP tidak boleh terus berhubung dengan PAS, namun ia boleh dijalin menerusi PKR," katanya lagi.
 
Natijah persengketaan antara PAS dan PAN dibuktikan menerusi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang jelas memperlihatkan kesukaran pembangkang untuk memastikan saingan satu lawan satu menentang BN sebagaimana yang berlaku pada PRU-12 dan 13.
 
 

Tiada ulasan: