MALAYSIAKINI
Penuntut di institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan
pelajar tajaannya di dalam dan luar negara diberi amaran supaya tidak
terlibat dengan kegiatan militan dan mengancam keselamatan negara.
Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata pelajar yang terbukti
melibatkan diri dengan anasir yang bersifat mengancam keselamatan negara
akan ditamatkan kontrak termasuk tajaan, dengan serta merta.
"Pelajar tajaan Mara di luar negara tidak dibenarkan melibatkan diri
dalam persatuan yang tidak diiktiraf oleh kedutaan Malaysia, pihak Mara
atau universiti berkenaan, dalam Malaysia pun sama.
Kalau mereka menyertainya tanpa kebenaran, mereka melanggar kontrak,
mereka boleh diambil tindakan," katanya kepada pemberita pada Majlis
Rumah Terbuka Sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Bukit
Marak, Peringat di Kota Baharu, hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi semalam bahawa universiti dikenal pasti sebagai tempat yang
dikhuatiri mempunyai pengaruh paling kuat kumpulan militan.
Annuar berkata sekarang ini terdapat hampir 200,000 pelajar di
institusi pendidikan Mara dan di bawah program tajaan Mara di dalam dan
luar negara, yang kesemuanya terikat dengan kontrak yang telah
dimeterai.
"Setakat ini kita pantau, belum ada yang terlibat cuma ada sedikit
laporan awal beberapa pelajar kita di Amerika Syarikat di mana kita ada
dapat peringatan daripada pihak keselamatan di Amerika kerana ada
beberapa pelajar tajaan Mara terlibat dalam usrah yang sedang dipantau
oleh pihak keselamatan Amerika.
Mereka (AS) telah maklumkan dan kita (Mara) telah mengambil tindakan kaunseling pelajar terbabit dan terus memantau," katanya.
Beliau berkata Mara memandang serius kegiatan yang menimbulkan kecurigaan melibatkan pelajarnya.
Annuar berkata semua pihak perlu memandang serius pengaruh dan ancaman daripada kumpulan pengganas.
"Sebab itu adalah penting bagi institusi pengajian tinggi mengawal
kegiatan bukan akademik, badan atau persatuan hendaklah ditapis oleh
pihak universiti, bahagian hal ehwal pelajar dan bahagian kaunseling,
kita tahu gerakan ini bersifat global dan melibatkan pelbagai lapisan
masyarakat termasuk profesional," katanya.
Dianggarkan 15,000 orang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan oleh Anggota Parlimen Ketereh itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan