HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Julai 2016

Tidak terlewat untuk PAS pulihkan hubungan dengan Pakatan Harapan - Mahfuz Omar

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PAS membuat percaturan yang betul apabila menyeru gencatan senjata diadakan dalam kalangan pembangkang dan menumpukan kepada musuh sebenar, Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Menurut bekas ketua penerangan parti itu Datuk Mahfuz Omar, PAS masih mempunyai masa dan talian hayat untuk 'memperbetulkan' hubungannya dengan semua parti pembangkang dan kembali menentang Umno BN.
 
"Masih belum terlewat untuk memulihkan kembali perhubungan dikalangan parti-parti pembangkang dan kenyataan (Datuk) Tuan Ibrahim itu adalah satu kenyataan bahawa kesediaan PAS untuk bersama dengan parti pembangkang yang lain dan saya sifatkan sebagai pendirian bahawa PAS yang agak menarik selepas hubungan antara parti pembangkang yang agak renggang," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Mahfuz berkata demikian mengulas mengenai gesaan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu parti pembangkang berhenti bercakaran sesama sendiri dan menentang Umno BN bagi Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.
 
Menurut Tuan Ibrahim, sudah tiba masanya parti pembangkang mencari jalan keluar kepada permasalahan dan mencari titik kompromi walaupun masing-masing mempunyai dasar parti yang berbeza. 
 
"Ini bagi saya (PAS) berjiwa besar dan saya harap kepimpinan dan ahli PAS harus menerima pendirian ini walaupun terpaksa menelan segala perkataan yang kita lontarkan sebelum ini," katanya.
 
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata semua kepimpinan dan ahli PAS seharusnya istiqamah dengan melihat kenyataan Tuan Ibrahim itu sebagai satu langkah kedepan yang tersirat demi kelangsungan pembangkang yang kian terancam ekoran perpecahan sesama sendiri.
 
"Kenyataan Tuan Ibrahim itu satu kenyataan yang harus dilihat pada masa depan parti itu sendiri. Saya lihat kenyataan itu menarik, perubahan pendirian PAS daripada menganggap Amanah, DAP itu musuh dan (PAS) macam bersedia untuk memaafkan PKR yang turun berkempen untuk Amanah pada PRK yang lalu yang mengajak pengundi menolak calon PAS. 
 
"Ini bermakna sesuatu yang menunjukkan kesediaan untuk gencatan senjata dan juga berkompromi menunjukkan PAS bersedia melupakan segala lontaran kata-kata dan tuduhan yang berbagai kepada parti (pembangkang) yang lain," ujar beliau lagi.
 
Dalam pada itu Mahfuz berkata langkah PAS menawarkan gencatan senjata kepada parti pembangkang dengan jelas menunjukkan bahawa PAS turut mengiktiraf peranan Amanah selaku sebahagian daripada pembangkang di negara ini.
 
Bagaimanapun kata Mahfuz kenyataan Tuan Ibrahim itu padanya turut menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli dan pemimpin PAS apabila dua Muktamar sebelum ini dengan tegas memutuskan hubungan dengan DAP dan menyifatkan Amanah sebagai pengkhianat.
 
"Saya anggap kenyataan itu telah memberikan satu perakuan dan pengiktirafan terhadap parti pembangkang yang lain termasuk Amanah dan DAP yang sebelum ini sangat dimusuhi oleh PAS dalam satu tempoh selepas krisis yang berlaku dahulu. 
 
"Jadi dia (PAS) macam sudah menerima walhal dalam Muktamar sendiri telah mengisytiharkan putus hubungan dengan DAP, dan dalam Muktamar baru-baru ini pula diisytiharkan Amanah adalah musuh kepada PAS oleh Datuk Mustafa Ali. 
 
"Saya tidak menganggap usul daripada Dewan Muslimat minta supaya diputuskan hubungan dengan PKR dan saya harap jangan ada kepimpinan dan ahli PAS yang menganggap Tuan Ibrahim sudah berlawan dengan keputusan Muktamar," ujarnya.
 
Pengarah Strategik Amanah Khalid Samad semalam berharap agar PAS tidak membuat pusingan U dan lebih istiqamah dalam menentang Umno BN.
 
Katanya PAS yang sepatutnya menetapkan pendirian untuk tidak menyebabkan perpecahan yang berpunca daripada sikap tidak menentu bersabit pendekatan politik mereka yang kini lebih 'mesra' Umno BN.
 
"Saya harap Khalid Samad harus bersangka baik tidak menimbulkan perkara yang mengeruhkan keadaan. Bagi saya Khalid Samad harus menerima kenyataan Tuan Ibrahim itu menunjukkan bagaimana pendirian PAS menerima dan memperakui kehadiran Parti Amanah, sebab itu mereka minta lakukan gencatan senjata termasuk parti Amanah. 
 
"Maknanya dia (Tuan Ibrahim) setuju dan memperakui kewujudan Amanah dan minta agar semua kompromi, ini menunjukkan kesediaan PAS untuk berbincang termasuk dengan Amanah walaupun sebelum ini tidak. Perlu bersangka baik," katanya kepada Khalid Samad.
 
 

Tiada ulasan: