Shakira Buang
Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak (GU) atau juga dikenali
sebagai Geng Ustaz hari ini membuat laporan polis terhadap Persatuan
Hokkien Malaysia yang melancarkan kempen mengumpul sejuta tandatangan
untuk menolak pindaan Akta 355.
Mereka berkata, tindakan tersebut adalah campur tangan melampau dan
melanggar sempadan kebebasan mengamalkan aktiviti beragama yang
terkandung dalam perlembagaan persekutuan.
“Tindakan Persatuan Hokkien Malaysia boleh mengundang suasana tegang
antara agama kerana menghasut tanpa melalui proses yang sihat seperti
yang sedang berlangsung di parlimen Malaysia.
“Kebimbangan kami ada asasnya, di mana sekiranya berlaku tindakbalas
dari orang awam di kalangan umat Islam yang merupakan majoriti rakyat di
negara ini tentu saja ia mengundang suasana tegang sekali gus
mengganggu ketenteraman negara,” kata presidennya, Norazli Musa.
Beliau ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini selepas membuat laporan.
Persatuan Hokkien Malaysia baru-baru ini mendakwa mereka yakin dapat
mengumpul sejuta tandatangan daripada rakyat Malaysia bagi menentang
rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah
(bidang kuasa jenayah, Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) 1965
(Akta 355) dan Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan).
Pindaan itu dikatakan akan merintis jalan supaya hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini.
Presiden Persatuan Hokkien Malaysia, Tan Sri Khoo Chai Kaa sebelum
ini dilaporkan berkata kempen yang dilancarkan pada Jun lalu itu telah
mengumpul 600,000 ribu tandatangan.
Katanya, persatuan itu turut menyasarkan 1,000 lagi tandatangan daripada NGO dan kira-kira 100 pertubuhan lain.
Khoo berkata, selepas 20 September, tandatangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada semua 222 Ahli Parlimen.
Mengulas lanjut Norazli mahu pihak polis menyiasat langkah persatuan terbabit sekali gus mengambil tindakan sewajarnya.
“Kami (GU) ingin meminta pihak polis menyiasat langkah Persatuan
Hokkien tersebut di bawah Akta Hasutan dan mengambil tindakan yang
sewajarnya terhadap mereka kerana tindakan yang mereka ambil boleh
disifatkan ingin menghasut masyarakat bukan Islam untuk menentang dan
menghalang orang Islam daripada beramal dengan agamanya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan