MALAYSIAKINI
Seorang Datuk Seri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)
baru-baru ini bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa,
dipercayai memiliki 31 unit kondominium mewah bernilai lebih RM15.5
juta.
Semua unit kondominium yang terletak di ibu negara itu dikatakan
telah ‘dibeli’ daripada lima pemaju projek perumahan yang berurusan
dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), lapor Utusan Malaysia.
Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata, siasatan SPRM mendapati
suspek telah ‘membeli’ kesemua unit kondominium tersebut yang harga
asalnya RM200,000 sehingga RM300,000 tanpa membuat bayaran pendahuluan
menggunakan nama sendiri dan orang terdekat.
“Suspek ini dipercayai telah menandatangani perjanjian jual beli
(S&P) dengan pemaju tanpa membuat sebarang pembayaran pendahuluan.
“Apabila rumah siap, suspek dipercayai akan menjual semula setiap
rumah pada harga semasa dengan anggaran RM500,000 setiap satu dan
mendapat untung atas angin,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Menurut sumber itu, siasatan juga tidak menolak kemungkinan terdapat
beberapa lagi pegawai dan kakitangan DBKL terlibat melakukan perkara
yang sama bagi mendapat keuntungan mudah.
“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan kita masih lagi
mencari orang kanan suspek terbabit bagi membantu siasatan,” kata sumber
itu lagi.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam baki ketika dihubungi akhbar itu mengesahkan perkara berkenaan.
Terdahulu SPRM menahan tiga
penjawat awam - dengan dua daripadanya berpangkat Datuk Seri dan Datuk
atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.
Susulan penahanan tersebut, akaun milik ketiga-tiga individu itu yang melebihi RM13 juta dibekukan.
Ia melibatkan wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta.
Selain itu, turut disita beberapa aset lain termasuk kondominium
mewah, banglo serta kenderaan mahal berjenama seperti Maserati, BMW dan
Audi yang dipercayai diperoleh daripada hasil rasuah dan pengubahan wang
haram.
SPRM juga turut menjumpai wang tunai bernilai RM400,000 termasuk
dalam bentuk mata wang asing serta beberapa utas jam tangan mewah.
Mereka ditahan bagi membantu siasatan dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram, mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan