Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
SHAH ALAM: Tindakan undang-undang, termasuk membuat laporan dengan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuat dalam tempoh
seminggu ini sekiranya kerajaan negeri Selangor gagal menjawab segala
tuduhan berkenaan Paya Indah Wetlands.
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin
juga berkata semalam, pihaknya telah menghantar surat kepada PKR untuk
menyiasat salah laku Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin
Ali dan ahli exconya, Elizabeth Wong.
"Semalam saya sudah hantar surat rasmi kepada Presiden PKR dan Lembaga
Disiplin parti, berkenaan kewujudan seorang proksi kerana cukup rapat
dengan MB Selangor yang dilantik dalam syarikat pemaju.
"Ini berlaku pertembungan kepentingan, kerana Azmin secara sedar
mempengerusikan mesyuarat dan beri kelulusan penukaran status kepada
syarikat itu.
"Dan beliau sedar bahawa orang yang rapat dengannya itu menghantar
surat dokumen dan surat kepada penjawat awam dan meletak jawatan dalam
syarikat dan hubungannya dengan Azmin.
"Cukup tujuh hari, tiada respon itu hak kami. Saya akan dedahkan kepada
media tentang semuanya dan akan serahkan kepada SPRM. Kita juga
memutuskan beberapa tindakan berdasarkan proses undang-undang yang akan
diambil serentak dan serius berdasarkan hal ini," katanya kepada
Antarapos, hari ini.
Badrul, atau dikenali sebagai Chegubard berkata demikian ketika
mengulas cabaran Elizabeth semalam supaya beliau melaporkan dakwaan
bahawa kerajaan negeri melakukan pengezonan semula tanah Paya Indah
Wetlands kepada SPRM.
Sehubungan itu beliau menggesa parti segera menyiasat Azmin dan Elizabeth tanpa sebarang kompromi.
Isu ini tercetus rentetan pendedahan Chegubard bahawa kerajaan Negeri
memulakan usaha pelengkungan semula Paya Indah Wetlands di lot 68054
Mukim Tanjong Dua Belas Kuala Langat.
Beliau mendakwa tindakan itu bakal mengganggu ekosistem keseluruhan
Paya Indah Wetlands yang dikelaskan sebagai kawasan tanah lembap di
bawah Konvensyen Ramsar.
Dakwaan tersebut dinafikan Elizabeth pada Sidang Dewan Undangan Negeri
(DUN) Selangor baru-baru ini dengan berkata lot 68054 yang dipertikaikan
itu bukan milik Paya Indah Wetlands, sebaliknya dimiliki oleh syarikat
swasta, Salak Land Development Sdn Bhd.
Malah beliau menjelaskan tanah lot yang sebenarnya milik Paya Indah
Wetlands adalah bernombor 4827 dan 3974 yang telah diwartakan oleh
Jabatan Perhilitan Pusat sebagai Rizab Tanah Paya.
Bagaimanapun penjelasan itu kurang disenangi Chegubard dengan menuduh
exco tersebut tidak merujuk kepada lot sebenar yang menjadi kontroversi.
"Beliau (Elizabeth) sudah tidak relevan, lebih baik letak jawatan.
Sebab beliau jelas menipu. Selepas saya dedahkan semua dokumen, beliau
panik, terkejut dan buat kenyataan media dan merujuk nombor lot lain,"
dakwanya sekali lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan