Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Mahasiswa jurubicara rakyat, mewakili suara seluruh rakyat yang inginkan masa depan Malaysia yang lebih baik, bukan kuda tunggangan mana-mana parti.
Demikian reaksi jurucakap Gabungan Tangkap Malaysian Official 1, Anis Syafiqah mengulas presiden alumni Mahasiwa Aspirasi Malaysia, sebuah gabungan mahasiswa pro-kerajaan, Mohd Shahar Abdullah yang dilaporkan media memberi amaran kepada mahasiswa agar tidak menjadi boneka pembangkang.
“Terima kasih atas nasihat alumni. Kita mahasiswa warga universiti yang membawa nilai universal sudah semestinya tidak semudah itu menjadi boneka mana-mana pihak termasuklah parti-parti politik,” ujar Anis, mahasiswa Universiti Malaya itu.
“Keputusan yang kami buat ini adalah seratus peratus inisiatif mahasiswa atas dasar kesedaran yang lebih tinggi dari ketakutan yang dibentuk kleptokrat, tanpa paksaan daripada mana-mana pihak,” tambah beliau.
Menurut Anis, perhimpunan aman 27 Ogos ini adalah platform untuk rakyat Malaysia bersatu membina kekuatan menumbangkan rejim zalim, dan bukan platform untuk menunjukkan siapa lebih hebat.
“Saya mohon agar semua pihak dapat menghormati pendirian mahasiswa sebagai satu kuasa ketiga yang tidak berkepentingan.
“Beri kerjasama yang baik dan tidak mengambil kesempatan untuk bersaing atau menimbulkan sebarang pergaduhan,” jelasnya.
Shahar dilaporkan mempersoal tujuan perhimpunan Tangkap MO1 Sabtu ini, dan mendakwa mahasiswa terlalu mudah percaya dengan fitnah dan propaganda pihak tertentu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ditemui Roketkini semalam, Anis menegaskan bahawa beliau bersedia membatalkan perhimpunan 27 Ogos ini sekiranya Perdana Menteri sendiri dapat memberitahu siapakah gerangan Malaysian Official 1 seperti yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram melibatkan syarikat bermasalah milik negara, 1MDB.
“Objektif perhimpunan ini adalah untuk mendesak orang rasmi bagi menangkap ‘Penjenayah Rasmi’ Malaysian Official 1 ini,” ujar Anis, sambil menambah bahawa ia juga bertujuan membuka mata masyarakat serta mendidik mereka tentang apa yang sedang berlaku.
“Kita malulah satu dunia tengok masyarakat Malaysia ‘rileks’, tak sedar sedang dirompak,” tegasnya.
Perhimpunan Sabtu ini akan bermula jam 2 petang, dengan dua tapak berkumpul di Masjid Negara dan kompleks Sogo. Ia dijangka berakhir pada jam 5 petang, di Dataran Merdeka. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan