PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya mengeluarkan
kenyataan yang boleh memecah belahkan keharmonian rakyat apatah lagi
beliau merupakan bekas perdana menteri dan presiden Umno, kata
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Tengku Adnan berkata walaupun tindakan Mahathir itu bertujuan
menjatuhkan kerajaan sedia ada, ia tidak sepatutnya dibuat ketika rakyat
sedang meraikan bulan kemerdekaan negara ke-59 ketika ini.
"Sememangnya Tun Mahathir ingin menjatuhkan kerajaan sedia ada dan dia
akan cuba sedaya mungkin untuk mengatakan bermacam-macam bagi menjayakan
hasratnya itu...saya dan kita dengar apa yang dia sebut.
"Saya tidak tahu apa pemikiran dia tetapi kaedah ini tidak sepatutnya
berlaku. Kita sepatutnya berganding tangan bersama-sama membangunkan
negara dan bergerak ke hadapan," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Tengku Adnan merasmikan Program Kayuhan Merdeka Fun Ride
2016 dan Program Kembara Jalur Gemilang 2016 Peringkat Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini yang disertai 2,500
peserta.
Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini berhubung konsep
Bangsa Johor di mana bekas perdana menteri itu mendakwa konsep tersebut
mempromosikan semangat kenegerian yang hanya akan memecahbelahkan rakyat
selain ungkapan tersebut menggalakkan rasa bangga diri yang tidak
sihat.
Berikutan itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi
laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris membidas Dr Mahathir berhubung
kenyataannya dan menyifatkannya jahil dengan sejarah Johor.
Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata beliau yakin rakyat juga semakin
keliru dengan tindakan Dr Mahathir yang sanggup mengaku salah dalam
tindakannya mengehadkan kuasa raja-raja apabila mendapati tindakan
lampaunya itu tidak memihak kepada kepentingannya ketika ini.
Katanya Mahathir juga sanggup mengaku silap berhubung tindakannya
memberi kebebasan kepada internet apabila menyedari keputusan itu kini
mengundang pelbagai masalah walaupun semasa pentadbirannya, bekas
perdana menteri itulah yang mempengaruhui kabinet supaya meluluskan
perkara tersebut.
"Saya pun tidak tahu dengan pemikirannya...jadi, biar dia dengan
dunianya tetapi yang penting, kita sebagai kerajaan akan cuba menjaga
dan menyelesaikan segala masalah rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan