MALAYSIAKINI
Seorang ahli parlimen pembangkang membidas Ketua Menteri Melaka,
Datuk Seri Idris Haron yang mendakwa Amerika Syarikat merancang untuk
"membunuh" orang Melayu selepas melakukan perkara yang sama terhadap
rakyat Iraq pada masa lalu.
Lim Lip Eng berkata jika dakwaan itu benar, maka Putrajaya perlu bertindak dan bukannya mendiamkan diri.
“Sekiranya demikian, bukankah kita sepatutnya menghantar pulang Duta
Amerika dan mengisytiharkan perang terhadap negara tersebut?” soalnya
dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, kata ahli parlimen DAP itu, Idris mesti menarik balik
kenyataannya dan meminta maaf kerana telah memalukan Malaysia di mata
dunia.
Beliau juga mempersoalkan menteri kabinet yang hanya membisu berhubung dakwaan itu.
“Adakah ini bermakna BN dan seluruh kabinet bersetuju bahawa Amerika
sedang merancang untuk menghapuskan orang Melayu menggunakan Jabatan
Keadilan (DOJ)?” katanya.
Sebaliknya, Lim berkata Malaysia harus berterima kasih kepada Amerika
yang cuba untuk mengembalikan jumlah yang amat besar wang yang didakwa
diselewengkan daripada 1MDB.
“Sebenarnya Malaysia perlu berterima kasih kepada Amerika Syarikat
kerana sedang cuba mengembalikan apa yang boleh daripada sejumlah AS$4
bilion yang didakwa telah dicuri daripada dana berdaulat negara,
syarikat 1MDB.
“Siapa yang menerima dana berbilion ringgit daripada 1MDB ini dalam
akaun peribadi mereka? Anak tiri siapa yang telah berjoli berjuta-juta
ringgit dan membeli rumah mewah di Amerika?
“Adakah semua itu hasil kerja Amerika Syarikat?” soal pemimpin DAP itu.
Idris mempersoalkan kredibiliti DOJ berbuat demikian dengan merujuk
pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq pada tahun 2003 serta dakwaan
bahawa presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein memiliki senjata
pemusnah besar-besaran.
"Kita nak beritahu Amerika, ini Asia Tenggara, ini Malaysia. Negara
kita tanggungjawab kita. Apa kredibiliti Department of Justice itu?
"Serangan ke atas Iraq, (Amerika) kata apa? Ada senjata kimia
besar-besaran; senjata kimia yang boleh memusnah dan sebagainya. Sampai
mati Saddam Hussein, hari ini satu inci laras senjata kimia pun tak
jumpa di Iraq.
"Kau tipu orang Iraq, kau bunuh orang Iraq, sekarang kau nak bunuh
pula orang Melayu di Malaysia,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno
bahagian Ampang pada Ahad lalu.
DOJ mendakwa dana 1MDB telah diselewengkan untuk membeli hartanah
mewah, menyelesaikan hutang judi, mendapatkan karya seni mahal dan juga
membeli kapal terbang dan kapal layar.
Di dalam pemfailan mahkamah di Amerika, DOJ menamakan anak tiri
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz dan ahli perniagaan
Malaysia Jho Low, yang rapat dengan keluarga perdana menteri.
Najib telah menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk
kepentingan peribadi dan menuduh ada pihak yang berkomplot untuk
menggulingkannya.
Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan