Malaysia bakal menyambut hari kemerdekaan ke-59 pada 31 Ogos ini dan sekarang, semua rakyat perlu sedia maklum akan maksud kesetiaan kepada negara serta menolak penjajahan dalam apa bentuk, kata sebuah portal pro-Umno.
“Malangnya, 30 Julai yang lepas - sebulan sehari sebelum ulangtahun ke-59 kemerdekaan negara, terdedah usaha untuk membawa masuk campur tangan asing,” kata Mykmu.net.
Campurtangan itu, dakwa portal berkenaan dilakukan melalui “laporan palsu” yang mendakwa bahawa 1MDB terbabit dalam pengubahan wang haram di Amerika Syarikat.
“Kononnya seorang yang dinamakan sebagai Malaysian Official 1 (MO1), mencuri wang 1MDB dan menyerahkan kepada 4 individu yang dinamakan dalam saman sivil oleh Department of Justice (DOJ) untuk digunakan bagi aktiviti penggubahan wang haram di Amerika Syarikat.
“Sedangkan hasil siasatan dalam negara ini yang melibatkan masing-masing kerajaan dan pembangkang, tidak menunjukkan sesen pun wang 1MDB yang dicuri tapi pihak yang dipercayai didalangi kumpulan pemuja Mahathir ini, entah dapat maklumat dari mana, percaya berbillion wang 1MDB dicuri dan dimasukkan dalam akaun peribadi MO1.
“Derma dari Arab Saudi adalah, duit curi dari 1MDB mana ada? Ada bukti ke, dokumen, pen drive ke apa?” katanya.
Apapun kesnya, Mykmu memberi amaran bahawa campur tangan asing sudah bermula dan rakyat Malaysia mesti menolak sebarang bentuk penjajahan baru itu.
Pemfailan DOJ di mahkamah menyebut ‘Malaysian Official 1' sebanyak 36 kali, dan sebelum ini Mykmu berkata MO1 adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Saman DOJ itu adalah merampas aset yang didakwa diperoleh melalui dana yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.
Ia menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz dan ahli perniagaan Jho Low yang dikatakan rapat dengan keluarga Perdana Menteri.
Sejak berita pemfailan saman mahkamah itu, Najib menerima tekanan baru supaya melepaskan jawatannya manakala penyokongnya mendakwa saman DOJ itu suatu bentuk fitnah ke atas perdana menteri.
Najib telah berulang-kali menafikan menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.
Baru-baru ini, Najib sendiri menggesa pemimpin Islam untuk menolak campur tangan asing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan