MALAYSIAKINI
Jurucakap himpunan #TangkapMalaysianOfficial1, Anis Syafiqah Md Yusof
pelik dengan sikap rakyat yang tidak mempeduli sedangkan 'seluruh dunia
tahu bahawa negara ini telah dirompak’.
Dalam sebuah rakaman video yang dimuat-naikkan oleh Ahli Jawatankuasa
Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan hari ini, Anis
dipaparkan dikelilingi oleh rakan-rakan aktivis pelajar dan anggota
polis di luar kampus UiTM Seri Iskandar berhampiran Ipoh, Perak.
Memulakan ucapannya, Anis berkata, beliau dan rakan-rakannya mahu ke
kampus berkenaan untuk menyampaikan maklumat berhubung Malaysian
Official 1 (MO1) tetapi tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.
Katanya, kempen kumpulan itu yang adalah untuk menggesa pihak
berkuasa menangkap MO1, sedangkan polis tidak melakukan apa-apa apabila
adalah jelas bahawa wang negara telah dirompak.
“Kenapa polis tak nak tangkap perompak yang terang-terang merompak
duit rakyat Malaysia. Duit mahasiswa, duit polis, polis juga rakyat
Malaysia.
“Kenapa tak mahu fokus kepada perompak yang besar itu, kenapa nak
fokus kepada kami yang kecil ini. Kami ini kecil, bukan siapa-siapa
(pun), tak berbahaya
“Saya tak bawa apa-apa senjata pun, hanya bawa sekeping kertas untuk
bagi tahu kawan-kawan di dalam (kampus),” kata Anis seperti yang dilihat
dalam klip video yang dirakamkan Sabtu lalu.
Apa yang bermula sebagai ucapan jinak bertukar menjadi berapi-api
apabila Anis mendakwa bagaimana wang berbilion-bilion ringgit
disalahgunakan sedangkan wang berkenaan boleh digunakan untuk membiayai
biasiswa untuk pelajar.
“Berapa orang boleh dapat manfaat itu. Takkan kita nak biar? Sampai
bila kita nak biar perompak ini bersenang-lenang guna duit kita?
“Bayangkan kalau rumah kita masuk perompak lepas itu kita buat
laporan polis (tetapi) polis tak boleh nak buat apa-apa. Apa yang kita
rasa?” katanya.
Aktivis pelajar itu menjelaskan bahawa beliau bukannya datang untuk
sengaja menimbulkan kekecohan mahupun memalukan dirinya tetapi atas
kesedaran sebagai seorang rakyat.
“Saya nak bagi tahu kawan-kawan supaya kita kena sedar. Satu dunia
dah tahu kita dah kena rompak, kenapa kita boleh relaks lagi,” katanya.
Himpunan #TangkapMalaysianOfficial1 dijadualkan pada 27 Ogos ini yang
bertujuan untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya menangkap
dan mendakwa ‘MalaysiaOfficial 1'.
Individu yang dirujuk sebagai 'Malaysian Official 1' itu dinamakan
dalam saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas aset
yang didakwa dibeli menggunakan dana daripada 1MDB.
DOJ percaya dana AS$3.5 bilion diseleweng dari 1MDB dan
sekurang-kurangnya AS$ 731 juta berada di akaun bank 'Malaysian Official
1'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan