MALAYSIAKINI
Tun Dr Mahathir Mohamad pada hujung minggu mendedahkan bahawa tiga
pegawai kanan negara yang dituduh bersubahat untuk menggulingkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak telah "dikhianati" oleh salah seorang di
kalangan mereka.
Jika tidak, kata Dr Mahathir, Najib sudah berdepan dengan tindakan pihak berkuasa di negara ini.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika menjawab dakwaan
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun, bahawa dirinya adalah
sebahagian daripada plot berkenaan.
Berkongsi pandangannya, mengenai perkara itu, ahli politik veteran
DAP Lim Kit Siang tertanya-tanya sama ada jika konspirasi tersebut
adalah bagi menentang perdana menteri, ataupun ke atas keiga-tiga
pegawai tinggi berkenaan.
"Apakah wujud konspirasi negara yang melibatkan tiga Tan Sri untuk
menjatuhkan Najib sebagai perdana menteri pada Julai tahun lalu, sebelum
Najib melancarkan pembersihan dalaman ke atas pegawai kerajaan
peringkat tertinggi, termasuk membabitkan pemecatan timbalan perdana
menteri dan peguam negara?"
"Atau adakah terdapat konspirasi nasional untuk menghalang pegawai
tertinggi daripada menjalankan kewajipan mereka mengikut undang-undang?"
soalnya dalam satu kenyataan media.
Bulan lalu, Khairul Azwan membuat laporan polis terhadap tiga Tan Sri
- bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akthar Aziz; bekas Peguam Negara,
Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM), Abu Kassim Mohamad.
Beliau menuduh ketiga-tiga mereka membekalkan maklumat sulit kepada agensi asing, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Khairul Azwan juga mendakwa bahawa ketiga-tiga mereka mungkin memalsukan maklumat untuk mencapai agenda masing-masing.
Walau bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
kemudian berkata tiada tindakan akan diambil kerana laporan ketua pemuda
Umno itu hanya berdasarkan andaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan