IPOH: Jurugambar akhbar New Straits Times Press (NSTP) yang cedera
dipukul dalam kekecohan selepas perlawanan Liga Super antara Perak dan
Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu lalu, hari ini menafikan dakwaan ia
lakonan yang dirancang.
Supian Ahmad, 36, berkata pelbagai tuduhan dilempar ke atasnya menerusi
laman sosial termasuk mendakwa beliau dibayar untuk melakukan perkara
itu dan menipu kamera miliknya dirampas penyokong JDT.
"Saya juga dikatakan orang Perak, sedangkan saya bukan orang Perak
...itu adalah fitnah terhadap saya dan pengamal media lain juga difitnah
sebagai suka menipu.
"Sebagai pihak berkecuali saya terkilan kenapa saya dipukul dan
diserang? Saya harap pihak berkenaan menarik balik dakwaan sebelum saya
membuat laporan polis," katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam insiden di Stadium Perak Sabtu lalu, Supian dilaporkan diserang
penyokong JDT di tengah padang selain dipijak di beberapa bahagian
badan, manakala kamera bernilai kira-kira RM30,000 miliknya dirampas.
Menurutnya, kamera itu telah ditemukan semula di atas padang oleh seorang petugas media ketika polis melakukan pemeriksaan.
"Gambar dalam kamera masih ada dan kerugian yang saya alami lebih
RM1,000 kerana 'filter' kamera rosak dan komputer riba pecah sedikit,"
katanya.
Susulan serangan ke atasnya, Supian berkata beliau telah membuat
laporan polis di Balai Polis Sungai Senam semalam selain menyerahkan
beberapa bahan bukti termasuk gambar serta video untuk membantu
siasatan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak, Sayed Mohd
Hesham Sayed Idris berkata, satu akta perlu diwujudkan bagi melindungi
pengamal media ketika menjalankan tugas.
"Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana pengamal media diserang
tanpa sebab, kita tidak sokong mana-mana pasukan, kita berada di pihak
yang berkecuali," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan