"Sebenarnya, UMNO hanya nampak gah di depan tetapi hakikatnya berada dalam keadaan sangat kritikal untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang,".
Itu penjelasan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sepang, Datuk Ngedenin Musa pada pertemuan dengan wartawan MalaysiaGazette.
Tegasnya, sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin UMNO yang telah berjaya dan mempunyai kewangan yang kukuh tampil membantu ahli-ahli akar umbi secara menyeluruh.
"Kita jangan lihat kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai pengukur UMNO berada di landasan yang selesa.
"Lihatkan keadaan akar umbi UMNO terutama di cawangan-cawangan yang masih banyak tidak terbela nasib mereka selain 'mati' untuk menjalankan aktiviti.
"Ini adalah kenyataan yang harus difikirkan oleh pucuk pimpinan parti dan semua pemimpin UMNO yang telah kukuh kedudukan kewangan mereka agar dapat sama-sama membantu mengukuhkan parti yang mereka julang selama ini," katanya.
Jelas Ngadiman, apa yang paling dikesalkan apabila banyak cawangan gagal menjalankan aktiviti kerana masalah kewangan selain tidak tahu untuk menggerakkan cawangan.
"Ambil contoh di bahagian saya sendiri di Sepang, Pemuda dan Puteri tidak berjaya menambah keahlian baharu bagi pengundi muda yang lahir pada tahun 1991 hingga 1994 yang dianggarkan ada lebih kurang 7,000 orang.
"Kita sasarkan seramai 20,000 ahli baharu akan bersama UMNO tetapi malangnya kerja-kerja mendaftar 7,000 pengundi muda ini pun tidak dilaksanakan di peringkat cawangan hingga ke hari ini.
"Antara alasan yang diberi adalah tiada peruntukan untuk melakukan aktiviti dan bagi saya, alasan tersebut tidak boleh diterima kerana jika bahagian tidak ada peruntukan, masih ada banyak cara yang boleh membantu," ujarnya.
Mudah cakap kata Ngadiman, pemimpin UMNO yang telah selesa kedudukan kewangan mereka perlulah rajin-rajin menjenguk bahagian-bahagian UMNO lain untuk membantu yang mana memerlukan.
"Ingatlah, kekayaan dan kemewahan yang dikecapi semuanya kerana UMNO dan tidak salah jika ia dikongsi semula kepada ahli-ahli UMNO yang ikhlas untuk menggerakkan parti," katanya.
Bercakap tentang PRU14, kata Ngadiman, walaupun keadaan pembangkang dilihat tidak stabil dan memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga menang PRN Sarawak dan PRU Sungai Besar dan Kuala Kangsar, itu bukan bermakna parti kerajaan ini kuat.
"Kita (pemimpin-pemimpin UMNO) harus akui bahawa UMNO berada dalam keadaan kritikal dan bukan masanya nak tunjuk kepada dunia bahawa rakyat telah kembali menyokong kita.
"Saya nak tengok kejujuran dalam diri pemimpin-pemimpin UMNO supaya turun membantu ahli-ahali akar umbi tanpa perlu diminta," tegasnya. - Malaysia gazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan