HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Ogos 2016

UMNO pertahan Najib, bidas gerakan fitnah singkirkan PM

THE MALAYSIAN TIMES


Najib umno


KUALA LUMPUR :  Anggota UMNO diminta terus menunjukkan semangat solidariti dalam memberi sokongan kepada kepimpinan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi sasaran fitnah dari dalam dan luar negara.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia merupakan usaha pihak tertentu untuk menghilangkan keyakinan anggota UMNO terhadap kepimpinan parti.

“Itu niat mereka. Tapi sebab parti kita ini punyai solidariti, parti yang kuat dan kita berada di landasan yang betul, kita perlu terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib,” katanya.



Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Segambut di sini hari ini, yang dihadiri kira-kira 100 perwakilan kedua-dua sayap.

Menurutnya, semangat solidariti itu juga perlu ditunjukkan dalam kalangan anggota parti bagi menangkis dan membetulkan segala fitnah yang disebarkan pelbagai pihak.

Sementara itu di BERA, anggota MT UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said turut menekankan pentingnya untuk anggota UMNO menyokong kepimpinan Najib dan tidak terpengaruh dengan anasir menjatuhkannya, sama ada gerakan dalaman atau anasir luar.

“Kekuatan UMNO adalah disiplin kita. Ini yang mempertahankan kita sebagai parti yang memperjuangkan agama dan bangsa kita serta semua rakyat Malaysia. Kita tidak tanya siapa mereka apabila kita beri bantuan dan ini kerajaan yang kita mahukan,” katanya.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata cadangan penubuhan parti politik baharu yang diterajui bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan dakwaan bahawa berlaku gerakan dalaman untuk menggantikan kepimpinan negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Kompleks Rakan Muda Bera hari ini. Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera.

Azalina berkata beliau tidak gusar dengan pengaruh parti baharu itu nanti kerana yakin semua anggota UMNO mempunyai disiplin yang kuat dan meletakkan keutamaan untuk melihat kemenangan parti pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Di YAN, Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin yakin sesebuah parti yang ditubuhkan atas dasar dendam tidak akan berjaya.

“Sejarah telah membuktikan bahawa pemimpin UMNO yang meninggalkan parti lalu menubuhkan parti lain, sehingga kini tiada satu pun yang berjaya menerajui pucuk pimpinan negara.

“Bagi saya, parti yang ditubuhkan di atas dendam kesumat dan tiada hala tuju perjuangan, tidak akan diberkati Allah dan tidak akan berjaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jerai, di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, hari ini.

Badruddin berkata kewujudan terlalu banyak parti politik bagi mewakili orang Melayu di negara ini juga hanya akan mengakibatkan berlakunya perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Beliau turut menasihati pemimpin UMNO agar memikul tanggungjawab yang\ diamanahkan dengan sebaik mungkin bagi memastikan perjuangan UMNO satu perjuangan yang bermaruah.



“Perjuangan adalah pengorbanan dan pengorbanan ini jangan sesekali dikesali atau diungkit-ungkit,” katanya.

Di BALING, anggota MT UMNO Datuk Seri Hamzah Zainuddin yakin cadangan penubuhan parti baharu oleh bekas pemimpin UMNO tidak akan menjejaskan UMNO.

Beliau berkata UMNO masih mampu bertahan hingga kini kerana dasar perjuangan parti yang membela rakyat dan berjaya membangunkan negara.

“Perjuangan UMNO (selaku tunggak) Barisan Nasional (BN) mampu menggariskan segala agenda untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Baling di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata ini berbeza dengan parti-parti pembangkang yang didakwanya hanya berjuang demi kepentingan kumpulan tertentu sahaja.

Tiada ulasan: