HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 September 2016

50 NGO Perak bakal buat laporan polis desak penahanan Maria Chin

THE MALAYSIAN TIMES


maria chin abdullah


IPOH: Lima puluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak hari ini dijangka membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menahan penganjur perhimpunan Bersih 5 November, Maria Chin Abdullah.

Setakat tengah hari tadi, 30 NGO telah berbuat demikian antara NGO itu termasuk Majlis Ayahanda-Ayahanda Perak; Persatuan Sikh Ipoh; Pertubuhan Gabungan Bersatu Malaysia dan Persatuan Belia Sukarelawan Aman Jaya.

Exco Pemuda UMNO Malaysia Syamsul Bahrin Putra Ahmad Shibi yang turut membuat laporan berkata perhimpunan itu perlu dihalang kerana ia boleh menyebabkan kekecohan dalam negara.

“Kalau kita nak menghalang sesuatu kita mesti cari puncanya, jadi puncanya adalah penganjur. Kalau polis tahan Maria Chin dan kenakan tindakan keras maka ia menyelamatkan negara kita.

“Pelbagai akta boleh dikuatkuasakan untuk membendung perhimpunan ini antara lain bertujuan menghasut rakyat menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini.

Syamsul Bahrin Putra yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat berkata berdasarkan beberapa siri Bersih sebelum ini perhimpunan itu bukan sahaja tidak aman, malah telah mencemarkan imej negara.

“Contohnya Bersih 3 dan Bersih 4 ada yang bertindak ganas membakar kenderaan polis selain terdapat rungutan peniaga di kawasan sekitar,” katanya.

Selain itu, laporan polis turut dibuat berhubung komen anggota Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun menerusi akaun Twitternya mengenai kematian Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Syamsul Bahrin Putra berkata penggunaan perkataan ‘Adios’ kurang bersesuaian bagi merujuk pemergian seorang ulama Islam yang disegani ramai.

“Saya ingin bertanya kepada Jeff Oii dan DAP ketika pemimpin mereka meninggal dunia, adakah perkataan tidak elok dikeluarkan oleh rakyat negara ini?,” katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat perkara itu dan mengenakan tindakan sewajarnya sebagai iktibar kepada semua pihak.
— Bernama


Tiada ulasan: