shahbudindotcom
Sedarkah kita bahawa mengaitkan Najib Razak dengan Malaysian Official 1 rupa-rupanya adalah suatu kesalahan?
Pada
1 Ogos lalu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua terpaksa mengadap
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM untuk diambil
keterangannya kerana mengaitkan Najib Razak dengan Malaysian Official 1.
Menurut
Tony Pua, SKMM memanggilnya setelah agensi itu difahamkan menerima lima
aduan berikutan tulisannya di laman Facebook yang menuduh Najib sebagai
Malaysian Official 1 susulan dokumen saman oleh Jabatan Kehakiman AS
sebelum itu.
Siasatan
terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan
Multimedia iaitu penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan
rangkaian yang tidak wajar.
Selepas
memberi keterangan, Tony Pua bagaimanapun bertegas bahawa beliau tidak
melakukan sebarang kesalahan serta tidak akan memadam tulisannya yang
mengaitkan Najib dengan Malaysian Official 1 itu.
Sehingga
ini tidak diketahui apa nasib seterusnya kepada Ahli Parlimen DAP itu,
sama ada akan didakwa atau dilepaskan begitu saja.
Tetapi
dengan memanggil Tony Pua untuk diambil keterangannya kerana menuduh
Najib sebagai Malaysian Official 1, jelas bahawa bagi SKMM perbuatan
tersebut merupakan suatu kesalahan atau boleh disabitkan dengan
kesalahan.
Dalam
erti kata lain, Najib cuba dielakkan sebarang kaitannya dengan
Malaysian Official 1 yang didakwa oleh Jabatan Kehakiman AS telah
menerima AS$731 juta atau kira-kira RM3,000 juta daripada wang 1MDB yang
dilencongkan melalui akaun bank peribadinya.
Untuk itu, mengaitkan atau menuduh Najib sebagai Malaysian Official seperti mahu dilihat sebagai suatu kesalahan juga.
Jika
ianya tidak salah, sudah tentu SKMM tidak memanggil Tony Pua untuk
diambil keterangannya, malah mengabaikan saja lima laporan yang diterima
itu.
Oleh
itu, jika tidak bersedia berdepan dengan penyiasatan SKMM, orangramai
jangan cuba-cuba membuat tuduhan atau gatal tangan menulis di laman
sosial mengaitkan Najib dengan Malaysian Official 1.
Tetapi, itu mungkin dulu.
Sekarang
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang merupakan Pengarah Komunikasi
Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan bahkan dengan bangga mengesahkan Najib
adalah Malaysian Official 1.
Beliau
bukan lagi menuduh atau mengaitkan Najib dengan Malaysian Official 1,
tetapi juga mengesahkannya. Pengesahan pula tidak dibuat melalui Utusan
atau TV3, sebaliknya melalui BBC yang berpusat di London serta beritanya
tersebar ke seluruh dunia.
Jika
menuduh atau mengaitkan Najib dengan Malaysian Official 1 boleh
dikaitkan dengan kesalahan di bawah Akta SKMM, bagaimana dengan
perbuatan Rahman Dahlan yang mengesahkannya?
Apakah
agensi-agensi penguatkuasa lain tidak mahu melihat Rahman Dahlan
mungkin telah melakukan kesalahan juga sebagaimana SKMM membuat
penilaian terhadap Tony Pua?
Masihkah
perbuatan mengaitkan, malah mengesahkan Najib sebagai Malaysian
Official 1, suatu kesalahan atau sebaliknya sekarang ini?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan