shahbudindotcom
Beberapa
bulan sebelum ini, berikutan Najib Razak dilihat tidak lagi tergugat
kedudukannya kerana semua musuh-musuhnya sudah dikeluarkan daripada
UMNO, dibayangkan beliau akan mengadakan pilihanraya umum secara
mengejut untuk memastikan pegangannya terhadap kuasa terus berlanjutan.
Jangkaannya ialah beliau dikhabar-anginkan akan memanggil pilihanraya mengejut atau "snap election" pada Mac atau April 2017.
Bagaimanapun,
apabila timbul isu saman Jabatan Kehakiman AS berkaitan dana 1MDB yang
dilencongkan, isu pilihanraya mengejut itu senyap daripada diperkatakan.
Wujudnya
saman itu dilihat telah memberi kesan yang besar kepada "mood"
pengundi, khususnya di bandar, kalangan orang muda dan mereka yang ada
telefon pintar dalam genggaman. Maka, diberitakan tidak mungkin Najib
berani mengawalkan tarikh pilihanraya.
Sehari
dua ini, setelah Tun Mahathir Mohamad bersalaman dengan Anwar Ibrahim
dan kemudian diikuti dengan lulusnya pendaftaran Parti Pribumi Bersatu
Malaysia atau PPBM, sekali lagi timbul kemungkinan Najib akan mengadakan
pilihanraya secara mengejut.
Tarikh
yang disebut tetap tidak berubah, iaitu sebelum April 2017. Najib
dikatakan tidak mungkin menangguhkan lagi tarikh pilihanraya kerana ia
akan memberi ruang kepada PPBM untuk bertapak dengan lebih kukuh.
Najib
kini dikatakan terdesak untuk memanggil pilihanraya sebelum PPBM dapat
menyusun struktur partinya di peringkat negeri dan bahagian-bahagian.
Selain itu, parti-parti pembangkang masih berpecah, belum ada kata putus
dari segi pembahagian kerusi dan kesepakatan satu lawan satu juga belum
muktamad. Ini menjadikan suatu kelebihan bagi BN jika diadakan
pilihanraya secara tiba-tiba.
Lagi
Najib menangguhkan tarikh pilihanraya atau menunggunya sehingga Mei
2018 iaitu tarikh akhir yang dibenarkan, dikatakan lebih banyak isu
bakal timbul dan menambah-sukarkan lagi peluang BN. Saman Jabatan
Kehakiman AS mungkin sudah ada keputusannya dan beralih kepada tindakan
jenayah pula, manakala beberapa negara lain yang sedang menyiasat 1MDB
juga tidak mustahil ada tindakannya masing-masing. Tentu saja, ia
merupakan "detik maut" bagi BN ketika itu nanti.
Oleh
itu, melewatkan pilihanraya dikatakan bukanlah pilihan yang baik bagi
Najib. Kalau mahu menang dan terus berkuasa, kena dipercepatkan,
demikian antara ungkapan pakar-pakar politik di kedai-kedai kopi dan
coffee house hotel di seluruh negara.
Benarkah begitu?
PRU
14 sebenarnya adalah menentukan pilihan berkaitan Najib. Semua isu yang
terbentang dalam negara adalah berkaitan dengannya. Tidak ada isu yang
terlepas kaitannya dengan Najib. 1MDB, derma ribu-ribu juta, Jho Low,
Riza Aziz, Rosmah, penyelewengan, penyonglapan, rasuah, pembaziran,
kemewahan, hutang, OSA, Akta MKN dan segala macam lainnya adalah
segala-galanya berkaitan dengan Najib.
Belum
pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini menghadapi sebegini sarat
isu membeliti dirinya dalam tempoh sesingkat cuma tujuh tahun memegang
kuasa. Dengan itu, Najib boleh ditafsir dengan bermacam-macam kelemahan
berkaitan diri dan kepimpinannya.
Sukar
untuk dipastikan dengan mengadakan pilihanraya lebih awal mampu
menyelamatkan Najib. Kemarahan dan rasa menyampah rakyat boleh dianggap
merata dan dapat didengar di mana-mana. Tidak pernah berlaku sehingga
restoran mamak sanggup mengalih siaran berita televisyen yang menyiarkan
berita mengenai Najib semata-mata kerana tidak mahu pelanggan terganggu
selera makannya.
Pengundi
bukan Melayu, bandar, separa bandar dan golongan muda boleh dikatakan
konsisten menolak Najib dan tidak mahu lagi BN terus berkuasa. Adanya
Tun Mahathir bersama barisan pembangkang harus diakui suatu kelebihan
kepada mereka.
Apatah
lagi dengan Tun Mahathir sudah berbaik dan bersalaman dengan Anwar
sekarang ini, momentum itu menjadi semakin nyata. Andainya Najib
mengadakan pilihanraya mengejut, bahang terjalinnya perdamaian Tun
Mahathir - Anwar yang masih terasa pasti akan melonjakkan lagi semangat
ke arah perubahan itu.
Pengundi
Melayu di kampung dan luar bandar mungkin turut melihatnya sebagai
detik penting untuk merealisasikan perubahan. Jika dengan gandingan Tun
Mahathir - Anwar ini, perubahan tidak juga dilakukan, bermakna ia lebih
mustahil pada masa depan. Sama seperti pengundi bandar, pengundi luar
bandar juga sebenarnya teruja dengan ungkapan "ini kalilah!"
Orang
kampung dan Melayu luar bandar bukan tidak faham tentang rasuah,
songlap duit, makan duit kerajaan dan lain-lainnya, tetapi ramai yang
sukar untuk meninggalkan UMNO. UMNO sudah sebati dengan mereka. Namun,
dengan kegigihan Tun Mahathir memberi penjelasan bahawa UMNO kini sudah
menjadi parti Najib, sambil bukti dan perlakuan mengenai perkara itu
semakin terang di depan mata, semakin ramai yang dapat menerima
kebenaran itu.
Kelebihan
kepada BN, kiranya pilihanraya diawalkan hanyalah tiada jaminan
kesepatan dapat dicapai di antara parti-parti pembangkang. Namun, jika
masing-masing lebih mengutamakan untuk melihat kejatuhan Najib melalui
kekalahan BN, tidak mustahil kesepakatan dan tolak ansur dari segi
pengagihan kerusi dapat dicapai dalam sekelip mata.
Melewatkan
pula, tentu saja memberi banyak kelebihan kepada parti-parti
pembangkang. Mereka ada banyak masa untuk merundingkan pembahagian
kerusi dan menentukan hanya satu lawan satu yang berlaku.
Melewatkan
sehingga Mei 2018 juga mungkin menyaksikan Anwar sudah dibebaskan dari
penjara. Walaupun dihukum penjara selama lima tahun, biasanya atas sebab
kelakuan baik, hukuman hanya berjalan tidak sampai tiga tahun.
Walaupun
jika dibebaskan, Anwar masih terikat kepada peraturan tidak boleh
bertanding selama lima tahun, tetapi keberadannya di luar dan bebas
berceramah bersama Tun Mahathir boleh saja membuatkan Najib dan Zahid
Hamidi sesak nafas dibuatnya. Bayangkanlah betapa gegak gempitanya jika
Tun Mahathir berada sepentas dengan Anwar membelasah Najib dalam kempen
pilihanraya.
Dengan
itu, kelebihan untuk menumbangkan BN adalah lebih terbentang luas
kiranya pilihanraya diadakan pada 2018. Namun demikian, mengawalkan juga
tidak memberi jaminan wujudnya keselesaan. Mungkin pada Mac atau April
2017 Anwar masih dalam penjara, tetapi surat dan perutusannya pasti
bebas menemui pengundi. Bermakna, gandingannya dengan Tun Mahathir tetap
juga wujud, tidak kira bila tarikh pilihanraya diadakan.
Isu
PRU 14 bukan cepat atau lambat. Isunya ialah Najib dan segala hal
berkaitan dirinya. Selagi Najib ada, lebih-lebih lagi dengan wujudnya
PPBM bergandingan bersama parti-parti pembangkang lain, kemungkinan BN
kalah lebih terbuka berbanding mampu mengekalkan kuasanya.
Malah,
jika kebarangkalian Najib menawarkan pengunduran selepas pilihanraya
juga tidak mungkin mampu memberi kelebihan kepada BN kerana hanya
kekalahan sebaik-baik hukuman serta pengajaran kepadanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan