shahbudindotcom
Ada dua perkara yang menjadi pertanyaan ramai mengenai Pas sekarang ini:-
-
Apakah Pas akan bersama dengan parti-parti pembangkang untuk satu lawan
satu dengan BN atau kekal bersendirian dan menjadikan pertandingan tiga
penjuru yang dalam ertikata lain memberi kelebihan kepada Najib Razak,
UMNO dan BN dalam PRU 14 akan datang?
- Bilakah saman terhadap Sarawak Report yang diumumkan lebih sebulan lalu oleh Hadi Awang sendiri akan menjadi kenyataan?
Meskipun
beberapa pemimpin Pas ada menyatakan keinginan untuk melihat
pertandingan satu lawan satu berhadapan dengan BN dalam PRU 14 akan
datang, kenyataan yang serupa belum pernah keluar daripada mulut Hadi
Awang selaku Presiden Pas atau Mursyidul Amnya, Dr Haron Din.
Ini
menjadikan pendirian Pas masih menjadi tanda-tanya sama ada parti itu
benar-benar mahu menumbangkan BN atau sebenarnya ingin menjadi "tongkat
penyelamat" kepada kedudukan Najib, UMNO dan BN.
Sepertimana
yang selalu diulang oleh Tun Mahathir Mohamad, parti-parti pembangkang
yang tidak sedia berpakat untuk bertanding satu lawan satu menentang BN,
ia adalah sama seperti memberi pertolongan kepada Najib yang sedang
berhadapan dengan skandal kewangan berkaitan dirinya.
Sehingga
ini, beberapa pemimpin kanan Pas seperti Tuan Ibrahim Tuan Man, Idris
Ahmad, Iskandar Samad, Mustaffa Ali dan lain-lain nampak bersetuju
dengan pendirian Tun Mahathir itu, cuma Hadi Awang dan Dr Haron Din yang
merupakan "pemberi kata putus" berkaitan hala tuju parti itu, kekal
tidak berbunyi dan berdiam diri.
Maka, pendirian Pas masih dianggap misteri dan tidak menentu.
Dalam
waktu yang sama, Pas juga berhadapan dengan dakwaan menerima bantuan
kewangan sebanyak RM90 juta daripada Najib yang dibuat oleh Sarawak
Report, tidak lama sebelum ini.
Berikutan
itu, Hadi Awang pada 13 Ogos lalu mengumumkan bahawa Pas akan mengambil
tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report dengan melantik seorang
peguam kanan di London bagi tujuan tersebut.
Katanya lagi, proses itu akan dilakukan dalam tempoh sebulan daripada sekarang.
Oleh
kerana hari ini sudah 14 September, bermakna sudah lebih sebulan masa
berlalu dan masih tidak kedengaran apa-apa perkembangan mengenai saman
itu.
Apakah
ia akan tetap diteruskan, masih dalam proses rundingan dengan peguam
atau sudah dibatalkan sebagaimana ura-ura saman Najib terhadap WSJ
sebelum ini yang hanya gah dan berdentum-dentum di permulaan, tetapi
akhirnya sunyi sepi sehingga sekarang?
Jika
Pas berdiam diri dan tidak meneruskan saman, tanggapan ramai ialah
mungkin benar parti itu atau pemimpin tertentunya ada menerima bantuan
kewangan daripada Najib sepertimana yang didakwa Sarawak Report itu.
Berhadapan
dengan dua persoalan yang menjadi pertanyaan ramai itu, Pas sebenarnya
boleh menyelesaikannya secara serentak dan sekaligus meletakkan namanya
kembali dihormati iaitu dengan mengumumkan secara rasmi untuk menyertai
parti-parti pembangkang bagi berlawan satu lawan satu dengan BN.
Dengan
berani berbuat demikian, isu wang RM90 juta yang didakwa diterima Pas
daripada Najib akan terhakis dengan sendirinya. Sama ada saman
diteruskan atau tidak terhadap Sarawak Report, tidak lagi menjadi
persoalan besar.
Hanya
jika Pas atau mana-mana pemimpinnya benar-benar tidak pernah terhutang
budi atau tidak menerima budi daripada Najib, barulah ia tiada keraguan
sama sekali untuk bersama-sama dengan Tun Mahathir dan Pakatan Harapan
untuk berlawan dengan UMNO dan BN.
Selagi
Hadi Awang dan Dr Haron Din berdiam diri mengenai kerjasama untuk
berlawan dengan Najib, UMNO dan BN, dan dalam masa yang sama
menangguh-nangguhkan pula tindakan saman, keraguan orangramai akan terus
berkembang dan berakar umbi.
Lebih
buruk kepada imej Pas ialah kiranya ia tidak sedia bekerjasama untuk
satu lawan satu menentang BN dan tidak juga meneruskan saman terhadap
Sarawak Report.
Dalam
masa yang sama, Pas atau pemimpin tertentunya juga tidak harus
menjadikan DAP dan kewujudan Amanah sebagai halangan untuk bekerjasama
bersama parti-parti pembangkang bagi merealisaikan satu lawan satu
menentang BN.
Jika
Tun Mahathir dan Anwar sudah boleh bertemu, bersalaman dan menunjukkan
jiwa besar demi kepentingan negara, apakah Pas tidak boleh mengambil
sikap yang sama?


Tiada ulasan:
Catat Ulasan