MALAYSIAKINI
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menegaskan
kenyataan beliau bahawa sel menempatkan banduan perlu ada nyamuk, tikus,
lipas yang boleh mengganggu pesalah dibuat secara sepintas lalu.
"Secara sepintas lalu, saya cakap (kalau) nyamuk, lipas atau tikus
sekalipun (ada) dalam sel banduan, seperti rumah kita sendiri biarlah,"
kata Mohd Noor dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Noor berkata perkara itu di dalam konteks wawancaranya bersama Bernama yang menyentuh mengenai cara memerangi jenayah kejam dan keji seperti pembunuh upahan, peras ugut dan rogol berkumpulan.
Bagaimanapun, beliau sekali lagi mengulangi bahawa penjara tidak seharusnya memberikan “kemudahan ala VIP” kepada banduan.
"Penjara tidak seharusnya menjadi rumah tamu dengan tempat tinggal dan makan percuma.
"Layanan sedemikian hanya akan mendorong banduan kesalahan jenayah kecil untuk kembali ke penjara," katanya.
Mohd Noor sebelum ini menggesa pihak berkuasa memastikan pesalah
menjalani hukuman penjara ditanamkan dengan rasa takut, dan salah satu
caranya ialah melalui ketidakselesaan dalam sel mereka.
“Saya tidaklah menyeru Jabatan Penjara untuk bertindak kasar, atau
memukul banduan, tetapi Jabatan Penjara perlu menimbulkan keadaan tidak
selesa kepada tahanan sehingga mereka kesal dan tidak lagi mahu masuk
penjara.
“Misalnya, sel yang banduan ditempatkan itu perlu ada nyamuk, tikus, lipas yang boleh mengganggu pesalah,” katanya dipetik Bernama.
Mohd Noor yang pernah dijemput berucap di program anjuran pertubuhan
hak Melayu Perkasa, berkata amalan memberi “kemudahan ala VIP” kepada
banduan perlu dihentikan, sebaliknya mereka harus diberi layanan
setimpal dengan kesalahan.
Mengulas lanjut, Mohd Noor berkata apa yang dilaporkan berhubung kenyataan beliau itu merupakan satu penghinaan kepadanya.
"Ini bekas hakim yang menghabiskan masa selama 46 tahun di mahkamah
dan Pejabat AG (Peguam Negara). Saya layak dan berpengalaman serta penuh
dengan kasih sayang dan belas kasihan dan kini (dipanggil) pembodek dan
bodoh.
"Moga Allah memberi rahmat kepada jiwa-jiwa ini," katanya.
Selain itu, Mohd Noor juga menekankan bahawa perlunya hakim untuk menegakkan keadilan.
"Timbalan pendakwa raya mesti melawan setiap kes dengan semangat dan
ketabahan untuk mengimbangi peguam yang menggunakan segala cara untuk
melepaskan tertuduh," katanya.
Malah, beliau juga berkata tanggapan bahawa adalah lebih baik untuk
melepaskan 99 orang yang bersalah daripada menghantar seorang yang tidak
bersalah ke penjara adalah salah.
"Hakim-hakim perlu pergi ke neraka jika dia mensabitkan orang yang
tidak bersalah atau jika dia membebaskan seorang lelaki yang bersalah,"
katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekuti Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen berkata pihaknya bimbang dengan cadangan tersebut.
"Daripada mundur dan membiarkan keadaan penjara lebih teruk dengan
rekod 18 kematian setiap bulan lebih baik kerajaan berusaha ke arah
pendekatan lebih moden untuk melindungi kesejahteraan dan maruah
tahanan, menggalakkan pemulihan dan bukan hukuman, menyediakan mereka
untuk hidup di luar supaya mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat
dan tidak berulang ke dalam tingkah laku jenayah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan