KUALA LUMPUR: Anak perempuan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron
Din, memberitahu jika diikutkan hatinya, dia mahu mengebumikan bapanya
di Malaysia bukannya di San Francisco, Amerika Syarikat (AS).
Huda Haron berkata keputusan mengebumikan jenazah bapanya di negara orang, sangat berat untuk dilakukan.
"Hatta jika tanya hati kecil saya yang memang mementingkan diri
sendiri, tentunya saya mahu baba dekat bersama-sama kita. Biar ingatan
tidak padam sampai bila-bila kerana batu tandanya dekat dengan kita.
"Biar kita mampu ziarah hari-hari. Biar semua yang lain dapat ziarah
berkali-kali. Biar ada depan mata. Itu kehendak kita..dan saya
rasa..juga kehendak ramai lagi yang sayangkan baba.
"Tapi, adakah keputusan itu tepat untuk baba? Menyegerakan pengendalian
dan penyelenggaraan jenazah juga dituntut syara’. Kita rasa baba milik
kita, sebenarnya baba milik Allah," luah Huda menerusi laman sosial
Facebooknya, pagi ini.
Menulis dari Campbell, California, Huda berkata, keputusan itu adalah
ketentuan Allah yang tidak dapat disanggah dan bertindak di luar batas
insani dan kasih sayang.
“Tiga perkara yang sentiasa Allah jadikan teka teki penuh hikmah dalam
bab kematian kita, iaitu pertama, bila; kedua, di mana dan ketiga,
bagaimana (cara kematian kita).
“Kami lima beradik termasuk mama sepakat, bulat dan tekad untuk
menyemadikan baba (Allahyarham) di sini. Banyak kali kuliah dan pesanan
baba - ‘perlu disimpan di mana tempat malaikat datang menjemputnya’.
Walaupun ramai yang telah menghulurkan bantuan untuk urusan dibawa
pulang, tetapi jangka masa tujuh hari (tempoh bawa balik jenazah) suatu
yang tidak dapat kami terima untuk biarkan baba tanpa penghormatan dan
kemuliaan yang sepatutnya,” katanya.
Huda turut mengimbas kembali pendirian Allahyarham ketika hidupnya tentang urusan pengendalian jenazah.
“Semasa hayat baba, teringat suatu ketika, nak bawa mayat dari Kuala
Lumpur ke Perlis pun baba takkan izin. Inikan pula berjam-jam, malah
berhari-hari dalam peti ais. Selain itu perlu melalui embalm (rawatan
mayat) yang pastinya menyeksakan segenap urat saraf.
"Tak sakit? Siapa kata tak sakit? Siapa berani jamin kita tak merasa
sakit ketika itu? Tiada siapa yang melalui ajal maut dan kembali
menceritakan bahawa jenazah tidak merasai sakit,” katanya lagi.
Bagaimanapun Huda turut menyatakan penghargaan dan terima kasih
daripada keluarganya kepada semua pihak termasuk kerajaan yang berusaha
untuk membantu membawa pulang jenazah ke tanah air.
“Kami menghargai usaha pihak kerajaan terutama Datuk Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi yang bersusah payah membantu mengaturkan pesawat
persendirian. Terima kasih. Sangat-sangat kami hargai dan tersentuh.
"Kami sekeluarga merakamkan penghargaan atas keprihatinan Datuk Seri
yang bersusah payah bertanya khabar dan menelefon sendiri mama. Juga
berkali-kali bercakap sendiri dengan Balin jarak jauh melalui telefon,”
katanya lagi.
Allahyarham Haron Din meninggal dunia sekitar 10.10 pagi, Jumaat lalu akibat komplikasi jantung.
Allahyarham sebelum itu berlepas ke AS sejak beberapa hari lalu untuk
mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.
Pada Mac lalu, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada.
Beliau sebelum ini beliau pernah menjalani pembedahan pintasan jantung
di Hospital Stanford, San Francisco, AS pada 2 April 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan