Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: "Saya dan kawan-kawan tidak akan tubuhkan Amanah kalau mahu
melutut pada PAS," itu reaksi Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub
selepas diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.
Semalam, Hadi berkata Amanah akan melutut kepada PAS dan mengiktiraf kekuatan parti itu suatu hari nanti.
Ketika itu juga parti-parti yang menjadi sekutu Amanah terpaksa
bergantung pada PAS untuk meraih sokongan rakyat, dakwa Hadi lagi.
"Kalau isu melutut saya dan kawan-kawan tak akan tubuhkan Amanah. Kalau
nak melutut duduk dalam PAS sajalah. Jangan cakap apa-apa. Jangan buat
apa-apa. Duduk diam sahaja.
"Bagi saya ucapan itu lahir daripada ucapan cemburu melihat kejayaan
Amanah dalam tempoh yang singkat telah berjaya membuktikan bahawa dia
bukan parti seperti Hamim dan Berjasa. Jadi harapan untuk lihat Amanah
ini perti kecil yang umurnya tak panjang dan akan mati macam (parti)
HAMIM dan BERJASA itu tidak kesampaian.
"Sebaliknya Amanah hari ini dapat sambutan yang baik daripada
masyarakat," kata Salahuddin ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
HAMIM adalah Parti Hizbul Muslimin Malaysia sementara BERJASA pula
adalah Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia yang diwujudkan pada tahun
70-an dan 80-an.
HAMIM dan BERJASA merupakan parti yang ditubuhkan oleh dua orang bekas
Menteri Besar Kelantan iaitu Tan Sri Asri Muda dan Datuk Muhamed Nasir
yang berpusat di Pantai Timur Malaysia.
Tambah Salahuddin yang juga bekas naib presiden PAS, parti itu kini
tidak senang duduk berikutan sambutan di kalangan penyokong yang
diterima Amanah amat memberangsangkan.
"Setakat ini kita telah berjaya dapatkan ahli hampir 80 ribu orang
dalam tempoh setahun. Kita telah tubuhkan 156 kawasan Parlimen. Hari ini
juga kita dapatkan 300 cawangan-cawangan baru di seluruh negara.
"Kita sasar dalam tempoh pertengahan tahun hadapan kita akan capai
target kita lebih kurang 1000 cawangan. Jadi ini sebenarnya yang
merisaukan Haji Hadi terutama pergolakan mutakhir PAS Kelantan dan juga
sambutan luar biasa terhadap porgram Datuk Husam Musa (bekas pemimpin
PAS) di Kelantan," ujarnya lagi.
Pemimpin PAS sebelum ini menolak laporan Amanah diterima baik di Kelantan.
Malah Hadi sendiri mendakwa pengumuman Amanah bahawa parti itu menerima
1500 borang keahlian daripada ahli PAS dalam Majlis Perisytiharan
Keluar PAS dan Masuk Amanah di Salor, Kelantan, sebagai 'cakap kosong'.
Kenyataan Hadi itu turut diulas Salahuddin. Ujarnya Amanah tidak akan
mereka cipta cerita sebegitu dan amat menjaga integriti parti itu.
"Yang hadir dalam program itu adalah Setiausaha Agung Amanah sendiri,
Tuan Haji Anuar Tahir yang saksikan borang itu diisi dan diserahkan
kepada beliau. Sekarang (borang itu) sedang diproses oleh ibu pejabat.
Saya rasa jumlah itu adalah jumlah yang betul yang bukan rekaan.
"Saya sendiri amat menjaga tentang integriti parti Amanah ini. Mana
boleh kita cakap saja seribu lebih atau kita boleh buat borang palsu dan
seumpamanya.
"1500 itu benar-benar wujud. Malam itu beberapa profesor terkemuka di
Kelantan dan golongan cendekiawan yang lain, bekas pegawai tinggi
kerajaan, bekas ADUN, bekas wakil rakyat antara 1500 yang sertai Amanah.
Jadi itu bukan cakap kosong," tegas Salahuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan