KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak
menolak kemungkinan ada lagi individu yang akan didakwa berhubung kes
penyelewengan dana penerbitan buku bernilai hampir RM15 juta.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, kesemua butiran pihak
yang terlibat telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk
tindakan lanjut.
"Saya tidak menolak kemungkinan ada lagi pihak yang akan dituduh dalam
tempoh terdekat tetapi saya tidak boleh mendedahkan butiran mengenai
bila dan siapa individu terbabit," katanya dipetik sebuah agensi portal
berita semalam.
Azam berkata, individu yang akan dikenakan tuduhan itu bergantung kepada pertimbangan timbalan pendakwa raya.
Beliau berkata, pihaknya telah mengumpulkan bukti-bukti sedia ada dan
hanya menunggu keputusan dibuat oleh timbalan pendakwa raya.
Pada 25 Ogos lepas, SPRM menahan lapan orang termasuk Pengarah Urusan
Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak bagi membantu siasatan kes itu,
manakala Pengerusi bank itu, Tan Sri Abdul Aziz Zainal ditahan pada 29
Ogos, ketika tampil memberi keterangan di pejabat SPRM.
Mustafha dan Abdul Aziz yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini
Rabu, atas tuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat membabitkan
peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran berjumlah RM14,991,283.20
juta, Mac lepas.
Bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka
dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan