MALAYSIAKINI
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menuduh Ketua Polis Negara Tan Sri
Khalid Abu Bakar mengamalkan dwistandard kerana enggan menyiasat Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak atas peranannya sebagai Malaysian
Official 1 (MO1).
Ini berikutan anggota kabinet mengakui bahawa perdana menteri adalah
MO1 yang disebut dalam tindakan saman oleh Jabatan Kehakiman (DOJ)
Amerika Syarikat untuk merampas aset yang didakwa dibeli dengan wang
yang dicuri daripada 1MDB.
Lim berkata Khalid tidak akan bersikap sedemikian jika tokoh Pakatan
Harapan atau masyarakat sivil dinamakan dalam tindakan undang-undang
itu.
"Jika orang yang dinamakan ...merujuk kepada personaliti Pakatan
Harapan atau masyarakat sivil, mereka akan menghabiskan masa selama enam
minggu sejak DOJ memfailkan tindakan undang-undang pada 20 Julai dan
keluar masuk lokap polis untuk siasatan," kata Lim dalam satu kenyataan.
Lim berkata, ia menunjukkan bahawa mereka yang berkuasa menggunakan
set undang-undang yang berbeza daripada yang dikenakan kepada
masyarakat.
DOJ dalam saman sivilnya merujuk MO1 sebagai pegawai berpangkat
tinggi Malaysia yang memiliki pengaruh dalam 1MDB dan mempunyai kaitan
dengan penerbit filem Riza Aziz.
Kira-kira AS$ 731 juta daripada 1MDB dikatakan telah dipindahkan ke akaun peribadi MO1.
Riza adalah anak tiri Najib, dan beliau dinamakan sebagai salah
seorang daripada mereka yang dikatakan memiliki aset yang dibeli dengan
wang tunai 1MDB.
Pada 1 September, menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan memberitahu media
penyiaran British BBC bahawa Najib adalah MO1 tetapi tidak dinamakan
kerana tidak terlibat dalam kes yang sedang disiasat itu.
Lim, yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata keengganan ketua
polis negara untuk bertindak bermakna pihak polis menutup mata kepada
satu siri kelakuan jenayah.
Beliau berkata tindakan MO1 ini adalah berkaitan kecurian bernilai
berbilion dolar, penyelewengan dan pengubahan wang haram dana 1MDB
Tiada ulasan:
Catat Ulasan