HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 September 2016

Persempadanan semula: Pembangkang perlu bantah

SALMIYAH HARUN 


 


KUALA LUMPUR: PAS tidak yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneliti bantahan yang akan dibuat berkaitan cadangan persempadanan semula secara adil berdasarkan prinsip asas demokrasi.

Ini kerana, menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali cadangan persempadanan ini ada agenda tertentu yang akan memberi kelebihan kepada parti pemerintah, Umno BN.

Tambahnya, daripada pandangan awal berdasarkan kajian dan gambaran umum PAS akan membuat bantahan kepada SPR nanti.

Mustafa berkata, perlu untuk pembangkang membuat bantahan kerana persempadanan semula ini adalah strategi untuk memberi kelebihan kepada BN berdasarkan 'track records' yang lepas.

"Sebelum ini  jelas bahawa cara persempadanan ini dibuat bermatlamat untuk memberi kelebihan kepada parti yang memerintah iaitu Umno BN.

"Dan ini juga jelas berdasarkan persempadanan terakhir pada tahun 2003 bagi PRU 2004. Persempadanan waktu itu jelas dibuat untuk memberi kelebihan kepada Umno BN. Di mana negeri-negeri yang diperintah PAS maka negeri itu menjadi tumpuan untuk menafikan pembangkang mendapatkan kekuatan yang bertambah, maka waktu itu tidak ada pertambahan kerusi di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

"Sedangkan negeri-negeri lain ada pertambahan kerusi terutama negeri kubu kuat Umno BN yang meminta tambahan begitu besar berbanding bilangan purata pengundi, ini bertujuan untuk menafikan peluang PAS menang," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau turut memberi contoh di Terengganu, Dun Manir yang menjadi kubu kuat PAS sukar dikalahkan oleh BN tetapi selepas persempadanan, peti undi Teluk Pasu yang PAS hanya menang 100 undi lebih dimasukkan ke kawasan Manir.

"Kemungkinan Teluk Pasu akan kalah dengan menidakkan kubu-kubu pembangkang daripada menang dengan masukkan ke kawasan lain, begitu juga tempat lain.

"Contoh tahun 2003, persempadanan berdasarkan PRU 1999. Perdana Menteri hampir kalah beberapa undi, setelah dibuat pemetaan baru termasuklah peti undi kem tentera dibawa ke parlimen Pekan.

"Sedangkan terlalu jauh bagi menguatkan Pekan itu sendiri. Itulah bagaimana cara dibuat untuk beri kelebihan pada parti pemerintah. Pemetaan yang tidak munasabah berdasar geografi, satu peti undi masuk ke dalam Pekan sedangkan ada parlimen yang lebih hampir," tambahnya.

Justeru katanya, ini adalah kali pertama dalam persempadanan semula sejak beberapa kali mutakhir ini tidak berlaku pertambahan kerusi tetapi persempadanan dibuat untuk membolehkan pemetaan persempadanan bagi menafikan pertambahan kekuatan pembangkang.

Tegasnya, persempadanan kali ini yang tidak ada penambahan kerusi menunjukkan mereka tidak yakin ia akan diluluskan kerana Umno BN tidak ada 2/3 majoriti di parlimen.

Bagaimanapun sebelum itu Mustafa berkata, Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat sedang meneliti secara menyeluruh cadangan persempadanan semula yang baru diisytiharkan oleh SPR.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri (JPPN) supaya meneliti secara terperinci kesan daripada persempadan baru yang dikemukakan itu.

"Secara menyeluruhnya kita akan melihat laporan daripada negeri-negeri pada 24 September ini yang akan dibentangkan dalam mesyuarat PAS Pusat di Pulau Pinang nanti.

"Selepas itu kita ambil segala pandangan dan analisis oleh JPPN kemudian akan dikemukakan kepada Lajnah Politik PAS pada 28 September ini untuk dimuktamadkan, dan apa bentuk tindakan yang akan dilakukan oleh PAS berkait dengan cadangan itu," katanya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: