MALAYSIAKINI
'Berbeza' di mata tapi sama di hati. Selepas membuat Malaysia bangga
dengan berkumandangnya Negaraku di Rio de Janeiro, atlet paralimpik
Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli bakal dihargai
dengan imbuhan besar daripada kerajaan dan pihak swasta.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan
ganjaran yang bakal diterima atlet paralimpik yang meraih pingat adalah
menyamai ganjaran dijanjikan kepada atlet Olimpik sebelum ini.
Dalam kenyataannya di Facebook, Khairy sempat berkongsi cerita yang
mencetus inisiatif ganjaran adil kepada atlet paralimpik dan atlet
normal.
"Saya baru dua bulan sahaja dilantik jadi Menteri Sukan. Tiba-tiba
terima berita dari Lyon, Perancis seorang atlet negara bernama Ziyad
Zolkefli telah menang di kejohanan olahraga dunia. Dunia beb!
"Lepas saya terima berita tersebut saya tanya pegawai sama ada
kementerian menyediakan insentif untuk kemenangan tersebut. Saya diberi
jawapan memang ada," katanya.
Bagaimanapun beliau dimaklumkan jumlah yang disediakan adalah lebih sedikit disebab ia adalah sukan paralimpik.
"Saya tanya kurang berapa? Atlet para ni dapat 30 peratus dari nilai ganjaran atlet normal".
"Beberapa hari kemudian ada mesyuarat Lembaga Majlis Sukan Negara
(MSN). Saya selaku menteri dan juga Pengerusi MSN sendiri bangkitkan isu
ganjaran untuk atlet para. Saya kata tidak adil mereka terima insentif
kurang dari atlet biasa.
"Saya kata tidak adil mereka terima insentif kurang dari atlet biasa.
Saya cadangkan kita tukar polisi ini. Bagi sama rata. Macam-macam hujah
diberi untuk menidakkan cadangan saya," jelas Khairy.
Semangat Ziyad
Menurutnya, beliau teringat pada Ziyad dan pengorbanannya ketika itu.
"Takkan saya mengalah sedangkan beliau mengatasi segala kekurangan untuk menjadi juara dunia?
"Bilik mesyuarat senyap, menunggu menteri baru, muda dan mentah
menyerah kalah di tangan para otai pentadbir sukan. Saya pinjamkan
semangat Ziyad dan saya tanya satu soalan saja.
"Saya masih ingat, saya tanya dalam bahasa Inggeris: Do any of
you around this table know what it takes to become a world champion with
a disability? What it takes to overcome your disability and succeed?" ceritanya.
Khairy berkata, tiada seorang pun pegawai dapat menjawab soalannya.
Dia kemudian memutuskan supaya ganjaran sama rata diberikan kepada
semua atlet negara yang mendapat pingat di peringkat antarabangsa.
"Terima kasih Ziyad kerana memberi saya semangat untuk mengubah
layanan terhadap atlet para tiga tahun lepas. Hari ini Malaysia
satu-satunya negara yang memberi insentif sama kepada atlet biasa dan
atlet 'luar biasa'.
"Prestasi dan pengorbanan atlet paralimpik kita harus dihormati seperti atlet lainnya. Bukan 30 peratus dari atlet normal.
"Saya tidak tahu bagaimana merasai kebangsaan 30 peratus daripada
mereka. Saya hanya rasa bangga 100 peratus dengan pahlawan paralimpik
kita. Mereka luar biasa," kata Khairy.
Naza beri Kia Sportage
Selain itu, pemenang pingat emas Paralimpik Rio juga bakal menerima
ganjaran RM5,000 sebagai elaun bulanan di samping tiket penerbangan
percuma yang disediakan syarikat AirAsia sepanjang hayat mereka.
Sementara itu, Naza Corporation Holdings dilaporkan akan memberi
ganjaran sebuah kereta Kia Sportage serba baru kepada atlet negara yang
mencipta sejarah memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio di
Brazil.
Perkara itu diumumkan oleh pengerusi dan ketua pegawai eksekutifnya, Nasarudin Nasimuddin dalam satu kenyataan hari ini.
"Saya amat berbangga dengan atlet paralimpik Malaysia yang akan membawa pulang pingat emas milik mereka ke tanah air.
"Sebagai sebuah syarikat tempatan, Naza akan memberikan ganjaran
berupa Kia Sportage serba baru setiap seorang kepada atlet negara yang
memenangi pingat emas di Paralimpik Rio 2016," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan