MALAYSIAKINI
Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) membantah sekiranya 100,000
individu yang didakwa belum mendapat kerakyatan di negara ini
diberi status berkenaan.
Ketua Wira PERKASA, Irwan Fahmi Ideris berkata mereka tidak perlu
diberi kewarganegaraan sekiranya tidak dapat mengikut perkara 16
perlembagaan negara.
Antara lain, katanya, pemohon hendaklah bermastautin selama tujuh
tahun sebelum tarikh permohonan dan mempunyai pengetahuan asas dalam
bahasa Melayu.
"Jadi jika merujuk kepada perkara yang termaktub dalam perlembagaan
negara, adakah semua yang disebut telah dipatuhi? Jika tidak bagaimana
kerajaan dapat meluluskan permohonan mereka.
"Jika ya mereka harus melalui aturan operasi standard atau S.O.P yang
ditetapkan. Bukan hanya melepasi sebahagian perkara yang disebut sahaja
dalam perlembagaan," katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia
(Hua Zong), Tan Sri Pheng Yin Huah yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian hari ini.
Irwan berkata, Pheng menyebut pemohon sukar mendapat kelulusan
kerakyatan akibat gagal temuduga kerana tidak fasih bertutur bahasa
Melayu.
"Dalam perkara ini yang paling penting adalah pengetahuan dalam
bahasa Melayu. Jika tidak ada pengetahuan bagaimana dengan mudah mereka
mendapat kerakyatan negara ini," jelasnya.
Tambahnya, Pheng mungkin terlepas pandang dalam perkara 16
perlembagaan yang menyebut mengenai kemahiran dan pengetahuan asas
bahasa Melayu sebagai syarat diterima sebagai warganegara.
"Apalah ertinya warganegara Malaysia tidak tahu dan mahir dalam bertutur bahasa Melayu.
"Bagaimana nanti kita mahu menggambarkan masyarakat Malaysia yang
berbilang bangsa tapi tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu. Perkara
ini akan memalukan negara kita," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan