shahbudindotcom
Apabila
Muhyiddin Yassin menyatakan PPBM turut bersetuju untuk menjadikan
pembebasan Anwar Ibrahim sebagai agenda bersamanya, pelbagai spekulasi
dan andaian timbul daripada kenyataan beliau itu.
Ada
yang setuju dan melihat langkah itu akan menjadikan hubungan PPBM
dengan PKR dan Pakatan Harapan lebih akrab, tetapi ada juga yang
mencemuhnya sambil menyindir, kenapa hanya Anwar yang mahu dibebaskan?
Dalam
kenyataan yang disebut oleh Muhyddin, beliau mengatakan usaha
membebaskan Anwar itu ialah agenda yang hanya boleh dilakukan selepas
PRU 14 akan datang, dengan syarat PPBM menjadi sebahagian daripada
kerajaan.
Lantaran
itu, katanya, rakyat perlu membantu menumbangkan BN terlebih dahulu
jika ingin melihat Anwar dibebaskan. Maknanya, ia bukanlah perkara yang
boleh dilakukan sebelum pertukaran kerajaan.
Kenyataan
Muhyiddin itu kalau dihalusi tidak ada yang janggalnya, malah senada
juga dengan Tun Mahathir semalam yang mengatakan ia hanya dapat
dipertimbangkan jika pihaknya dapat menakluk kerajaan.
"Pada
masa ini kita tak boleh janji sebab tidak ada kuasa. Tetapi kalau itu
kehendak semua, takkan kita nak kata tak boleh pula. Kita akan lihat
kemudian mengenai pembebasan Anwar itu," ujar Tun Mahathir lagi yang
baru-baru sudah bertemu dan bersalaman dengan bekas timbalannya itu.
Sebagai
Presiden PPBM, Muhyiddin memang kena menunjukkan komitmen dan
kebersamaannya dalam isu perjuangan untuk membebaskan Anwar kerana
beliau sebelum ini sudah pun diterima "secara politiknya" oleh Anwar
sendiri sebagai bakal Perdana Menteri kiranya BN dapat ditumbangkan.
Pada
30 Julai lalu, Muhyiddin dan PKR telah mengumumkan persetujuan untuk
mengadakan program jelajah bersama ke seluruh negara berkaitan 1MDB.
Dalam sidang media itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali hadir
mewakili PKR bersama dengan Munyiddin.
Sudah
tentu persetujuan PKR bekerjasama dengan Muhyiddin itu, tambahan pula
Dr Wan Azizah dan Azmin turut hadir, adalah atas restu dan mungkin juga
merupakan kehendak Anwar.
Kemudian
pada 11 Ogos, Anwar turut mengeluarkan kenyataan meminta Muhyiddin agar
segera menggerakkan parti yang baru didaftarkan itu. Ketika itu ia
masih mahu dikenali sebagai BERSATU sebelum Pendaftar Pertubuhan tidak
membenarkannya, sebaliknya mengizinkan ia dikenali sebagai PPBM.
Kenyataan
Anwar itu jelas memperlihatkan beliau mahukan Muhyiddin dan parti
barunya benar-benar berperanan dan saling bekerjasama dengan PKR dan
Pakatan Harapan untuk memenangi pilihanraya akan datang.
Jika
difahami, ia juga sebenarnya adalah suatu "endorsment" kepada Muhyiddin
sebagai bakal Perdana Menteri akan datang, dengan syarat PPBM
benar-benar berperanan dan menumbangkan banyak kerusi UMNO dalam
pilihanraya akan datang.
Sudah
tentu, Muhyiddin akan dilihat sombong jika tidak membalas pengesahan
Anwar itu yang diakui rakyat lebih dulu memperjuangkan reformasi dan
pembaharuan untuk negara ini.
Anwar
sedar beliau tidak mungkin dapat bertanding dalam PRU 14 akan datang.
Kalau pun dibebaskan lebih awal, masih ada tempoh sekatan tertentu yang
perlu dipatuhinya. Peluang Anwar bertanding mungkin hanya muncul pada
PRU 15 atau lebih awal daripada itu jika diberikan pengampunan diraja.
Untuk
itu, sekiranya BN dapat dikalahkan, calon Perdana Menteri yang
nampaknya dipersetujui oleh Anwar tidak lain ialah Muhyiddin.
Berdasarkan pengalaman, wibawa, ketokohan dan pelbagai jawatan dalam
kerajaan sebelum ini, Pakatan Harapan pasti tiada halangan untuk
menerima Muhyiddin.
Muhyiddin
bersetuju untuk membebaskan Anwar tidak lebih sebagai isyarat bahawa
beliau menyahut dan bersetuju dengan apa yang Anwar sedang lontarkan
sebelum itu. Ia tidak salah apa-apa, yang salah hanya jika kita masih
mahu mengekalkan Najib, UMNO dan BN lagi dalam PRU 14 akan datang nanti.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan