PETALING JAYA:
Tujuh sahabat didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua
pertuduhan mencuri 143 tin susu formula pelbagai jenama bernilai hampir
RM14,000 di dua buah pasar raya.
Elita Mohd Kusahang, 46, Satria Sisa,
41, Ahmad Wahab, 52, Jovielyne Magada@Jeffrey, 35, Kasmah Ibrahim, 32,
Irsang Langsang, 30, dan Albert Tiya, 35, kesemuanya berasal dari Sabah,
mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan ke atas mereka dibacakan di
hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir.
Mereka didakwa bersama-sama mencuri 84
tin susu formula pelbagai jenama bagi dewasa dan kanak-kanak bernilai
RM7,765 milik Hero Market di Jalan SS6/10B, Kelana Jaya, pada 7 malam 20
April lalu.
Satria, Ahmad, Kasmah dan Irsang
berdepan satu lagi pertuduhan mencuri 59 tin susu formula pelbagai
jenama bagi dewasa dan kanak-kanak bernilai RM6,121.02 di Tesco Mutiara
Damansara 5.30 petang, 16 Ogos lalu.
Kesemua tertuduh yang tidak bekerja,
didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34
akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan
denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya
Fazeedah Faik menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi
setiap tertuduh. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan dua tertuduh,
Albert dan Elita, diikat jamin masing-masing RM2,500 dengan seorang
penjamin manakala lima tertuduh lain tidak dibenarkan jaminan kerana
tiada penjamin yang hadir ke mahkamah.
Zaki Asyraf menetapkan 19 Dis depan untuk sebutan semula kes.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan