Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali hari ini
mendakwa mendapat bukti baru yang menyatakan Tan Sri Khalid Ibrahim ada
menawarkan sejumlah RM2.9 bilion kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor
(SPLASH) bagi proses pengambilalihan syarikat konsesi berkenaan.
Menurut Azmin, bukti berkenaan diperolehi daripada bekas Setiausaha
Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud yang berkhidmat di bawah pentadbiran
Khalid selaku Menteri Besar pada ketika itu,
"Pagi ini saya mendapat pengesahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri
pada ketika itu Datuk Seri Ramli Mahmud yang mengesahkan itulah
keputusan yang dibuat oleh Khalid ketika itu untuk menawarkan RM2.97
bilion kepada SPLASH. Ini patut dia jawab," katanya kepada pemberita di
lobi DUN hari ini.
Azmin sebelum ini mempertahankan dakwaan beliau bahawa Khalid pernah
menawarkan RM2.9 bilion kepada SPLASH untuk mengambil alih aset syarikat
konsesi air itu.
Malah dakwa Azmin, beliau mempunyai bukti kukuh bagi menyokong dakwaannya.
Khalid dalam sidang medianya semalam bagaimanapun mempersoalkan sama
ada kerajaan Negeri di bawah Azmin akan menggunakan simpanan wang rizab
yang dimiliki mereka untuk membayar pampasan sebanyak RM2.7bilion kepada
SPLASH.
Khalid menjangkakan adalah mustahil untuk kerajaan Pusat meluluskan
sejumlah pinjaman yang besar untuk membuat pembayaran berkenaan.
Namun Azmin menyanggah kenyataan Khalid dengan menyatakan kerajaan
negeri mempunyai pelbagai inisiatif bagi menampung nilai yang ditetapkan
kelak.
"Itu tanggungjawab kerajaan Negeri Selangor. Saya sudah sebut tadi kita
ada pelbagai inisiatif untuk mencari hasil-hasil baru dan itu memang
pendirian kerajaan negeri bukan sahaja bergantung kepada sumber hasil
tanah tapi kita sedang cari sumber-sumber baru termasuk premium petak
yang baru diperkenalkan mulai 1 Januari dan menggunakan pendekatan smart
solution untuk meningkatkan efisiensi dalam meningkatkan hasil negeri.
"Jangan dia alih daripada isu perbahasan hari ini. Persoalannya dia
menuduh saya membayar 10 kali ganda ini satu pembohongan kerana dialah
yang membayar RM2.9 bilion kepada SPLASH," jawab Azmin kepada kenyataan
Khalid.
Sebelum ini Khalid mendakwa Azmin dikatakan hampir bersetuju untuk
membayar jumlah pampasan yang dituntut SPLASH iaitu RM2.7 bilion,
peningkatan sebanyak RM2.45 bilion daripada tawaran asal yang berjumlah
RM 250 juta.
Oleh yang demikian Azmin mencabar Khalid untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan ke atas beliau.
"Dia (Khalid) ada ruang sebagai ADUN ketika perbahasan, ketika
penggulungan dan pertanyaan. Kamu ada lihat dia selama 10 hari
bersidang. Tidak ada," soal Azmin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan