Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS (DPP) Selangor mendesak kerajaan negeri
untuk memberi penjelasan bersabit peningkatan kos pengambilalihan
Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) yang bertambah 10 kali ganda
dari nilai asal.
Pengarah Jabatan Penerangan DPP Negeri Selangor, Ahmad Hakimi Othman
berkata, persoalan utama yang perlu dijawab oleh kerajaan negeri adalah
bersabit 'sumber' untuk menampung sejumlah RM2.45 bilion, selepas ia
meningkat daripada RM250 juta kepada RM2.7 bilion.
"Pengumuman baru-baru ini tentang cadangan pengambilan RM2.7 bilion
equiti SPLASH menimbulkan persoalan kerana ia akan meningkatkan kos
ambil alih dari RM9.65bilion kepada RM12.1bilion. Sekiranya ini muktamad
berlaku, bagaimana kerajaan negeri untuk mengurus tambahan RM2.45
bilion.
"Apakah kerajaan Selangor akan menggali khazanah perbendaharaan Selangor sebanyak RM2.45 bilion?
"Alternatif lain untuk mendapatkan RM2.45 bilion? Adakah perlu soft loan dari Kerajaan Perseketuan?
"Sekiranya itu berlaku, apakah kesan kepada tarif air akan datang dan
apakah gangguan pula kepada bekalan air kerana penangguhan proses
penstrukturan air yang tidak selesai kerana konflik pertindihan
RM2.45bilion tersebut?," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim menawarkan nilai pengambilalihan SPLASH hanya RM250 juta.
Ia selepas mengambil kira liabiliti yang ditanggung SPLASH, namun
ditolak syarikat konsesi itu dengan menegaskan nilai syarikatnya
berjumlah RM2.5 bilion setakat 31 Disember 2013 dan jika dikira tempoh
konsesi 16 tahun yang perlu dilupus, syarikat itu bernilai RM3.9 bilion.
Sebaik sahaja Datuk Seri Azmin Ali dilantik menggantikan Khalid, ADUN
Bukit Antarabangsa itu dikatakan hampir bersetuju untuk membayar jumlah
pampasan yang dituntut SPLASH iaitu RM2.7 bilion, peningkatan sebanyak
RM2.45 bilion daripada tawaran asal.
Khalid menyifatkan nilai itu sebagai satu pembaziran wang rakyat jika
kerajaan negeri pimpinan Azmin akur dengan jumlah yang dituntut SPLASH
itu.
Malah Khalid dalam sidang medianya semalam turut mempersoalkan sama
ada kerajaan negeri akan menggunakan simpanan wang rizab yang dimiliki
mereka untuk membayar pampasan sebanyak RM2.7bilion kepada SPLASH.
Untuk rekod, kerajaan Persekutuan memohon kerajaan negeri Selangor
menangguh rundingan pengambil alihan aset SPLASH selama enam bulan lagi
bagi pihaknya melantik badan penilai bebas antarabangsa ke arah
memuktamadkan proses berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan