KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional, Tan Sri
Shahrir Abdul Samad mencadangkan agar setiap dana yang diterima bagi
membiayai organisasi atau badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini,
khususnya dari Barat, wajar diteliti kerana dibimbangi mempunyai agenda
tertentu.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata dana berkenaan termasuklah
daripada Open Society Foundation (OSF) yang diasaskan George Soros.
"George Soros ada nilai-nilai hidup yang berbeza daripada masyarakat
kita, apatah lagi OSF yang membawa makna sekular dan terbuka.
"Sebab itulah sesebuah organisasi yang terima dana dari orang seperti
Soros harus berwaspada kerana berkemungkinan, tanpa disedari, ada hala
tuju yang ditentukan mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen
di sini, semalam.
Baru-baru ini, Majlis Peguam mengakui ia menerima sejumlah RM53,757.12
(US$15,000) daripada OSF sebagai geran untuk menjalankan kajian
penyelidikan mengenai pekerja migran di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis
Peguam Datuk Seri M. Ramachelvan berkata pembiayaan itu diterima
daripada OSF pada 7 Jan 2015.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata
pembiayaan dana luar termasuk yang melibatkan politik boleh menimbulkan
masalah kepada negara sekiranya tidak dikawal.
"Penyaluran dana daripada institusi berkaitan adalah membimbangkan
kerana terbukti sebelum ini, ia menyebabkan berlaku perkara-perkara
besar seperti perubahan pemerintahan dan politik dalam sesebuah negara,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan