Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata
parti-parti pembangkang akan menjadi 'boneka' kepada DAP dalam
merencanakan segala rancangannya, sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke
14 (PRU14) akan datang.
Katanya PKR dan Amanah kini jelas diperkudakan DAP dalam diam bagi
mencapai cita-cita untuk melihat kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang.
"DAP sedang merencana parti untuk mereka mengepalai (parti-parti
pembangkang). Ketua Pembangkang mungkin diambil di kalangan parti lain
tetapi DAP akan kawal daripada belakang termasuk kerajaan negeri
Selangor yang tidak boleh bertindak dengan cara yang menyakitkan hati
DAP.
"Walapun PAS ada dalam kerajaan (negeri) namun PAS tidak releven sebab
PAS tidak boleh bersuara menentang DAP," katanya dalam sidang media
sempena majlis Himpunan Penerangan Umno Selangor hari ini.
Ujarnya lagi, DAP kini cuba memecahkan Melayu dengan meletakkan calon
pilihan mereka yang terdiri daripada kaum Melayu sendiri dalam parti
pembangkang.
Malah kata Annuar, DAP turut mempamerkan kerakusannya apabila
berperanan 'mengatur' calon pilihan mereka dalam PKR dan Amanah mahupun
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selaku alat bagi DAP mencapai
cita-cita mereka.
"Saya berani katakan PKR, Amanah, (Datuk Seri) Azmin Ali pun dikawal
oleh DAP, dan ini adalah perkara pokok yang kita kena jelaskan mempunyai
latar belakang yang sangat berbeza dengan apa yang Umno dan komponen BN
hatta parti yang berpecah daripada Umno.
"PKR, PPBM termasuk PAS adalah parti yang berpecah daripada Umno.
Sedikit sebanyak mereka mendokong ideologi yang hampir sama. Mereka
adalah kumpulan yang berpecah," katanya lagi.
Oleh yang demikian, DAP katanya giat menggerakkan jentera pilihan
rayanya dengan menamakan calon-calon daripada kaum Melayu antaranya Dr
Aziz Bari bagi merebut undi kaum itu pada PRU akan datang khususnya di
Selangor.
"Dalam PRU akan datang yang akan mengambil peranan paling besar dalam
persiapan, DAP juga akan cuba meletakkan calon-calon Melayu terutama di
Selangor sebagai strategi untuk mereka mempunyai kerusi mereka sendiri
pada jumlah yang lebih besar daripada rakan-rakan mereka dan PKR, PPBM,
dan Amanah akan menjadi rakan sampingan.
"DAP telah berjaya dalam tindakan mereka membuat perancangan terhadap
rakan kongsi mereka, mereka telah pecahkan PAS dan dalam PKR ada DAP.
Saya percaya akan campur tangan dalam PPBM sebab itu kaedah politik
DAP," ulas Annuar.
Sementara itu, Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar turut
sependapat sama bahawa DAP telah berjaya meresapi parti-parti
pembangkang lain dengan mengetengahkan agenda peribadi dengan
mengapi-apikan isu perkauman dalam politik.
"DAP telahpun berjaya memecahbelahkan orang Melayu dan memperkudakan
pemimpin Melayu (dalam pembangkang) kerana perjuangan DAP iaitu
kesamarataan dan akan terus tidak berpuas hati dengan apa juga
peruntukan dalam Perlembangaan Persekutuan terutamanya mengenai hak-hak
orang Melayu, kedudukan agama Islam dan klausa tertentu khususnya di
Selangor yang memberikan keutamaan kepada orang Melayu," katanya dalam
sidang media berkenaan.
Sebelum ini Penasihat DAP menafikan dakwaan bahawa parti itu akan
menjadi faktor dominan dalam pembangkang sekiranya menang dalam PRU akan
datang.
Katanya orang Melayu akan tetap berkuasa dan sama sekali tidak akan kehilangan kerusi Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan