KOTA BHARU: Majlis Peguam Malaysia tidak melihat isu mereka menerima
dana daripada Open Society Foundation (OSF) sebagai isu yang besar.
Tidak kisah dengan dakwaan mereka menerima dana daripada OSF yang
dikaitan dengan hartawan Gorge Soros itu, Presidennya, Steven Thiru
berkata, pihaknya menerima dana itu untuk tujuan kajian penyelidikan
mengenai pekerja migran di Malaysia
Malah tegas Thiru, Soros bukannya individu larangan yang disekat pergerakannya.
"Jadi perkara itu bukan masalah besar memandangkan dana yang diterima diuruskan oleh OSF dan bukannya beliau (Soros).
"Saya tidak lihat ia boleh mengganggu gugat sistem perlembagaan
demokrasi di Malaysia lagipun ia hanya untuk tujuan mendapatkan keadilan
bagi pekerja asing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis
perasmian bangunan Jawatankuasa Peguam Negeri Kelantan di Tanjung Mas di
sini, hari ini.
Thiru menambah, pihaknya tidak pernah menyembunyikan perkara itu dan ia mengakui terima dana sejak 2014 hingga akhir 2015.
Pada Khamis lalu, Majlis Peguam mengakui bahawa ia menerima sejumlah
RM15,000 dari OSF sebagai geran untuk menjalankan kajian penyelidikan
mengenai pekerja migran di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen, Datuk
Seri M. Ramachelvan mendedahkan bahawa pembiayaan itu diterima daripada
OSF pada 7 Januari 2015.
Kelmarin, akhbar tempatan melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed
Apandi Ali berkata, perkara itu masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa
dan beliau masih belum menerima atau pun melihat kertas siasatan itu.
Bagaimanapun Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam
mengesahkan pihak polis sedang menyiasat Majlis Peguam berhubung dana
diterima daripada OSF.
Ujar Khalid, siasatan ke atas badan itu dibuat di bawah Seksyen 124 C
Kanun Keseksaan iaitu peruntukan berkaitan kesalahan membabitkan
aktiviti-aktiviti yang dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan