Oleh Fatih Hassan Nordin
KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 50 Orang Asli dari suku Temiar menyertai perhimpunan BERSIH 5 yang diadakan di sini, semalam.
Mereka yang mewakili pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) dan Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) berhimpun di perkarangan Masjid Negara sambil membawa sepanduk.
Antara sepanduk yang mencuri tumpuan peserta seperti ‘Pertahankan Hak Tanah Adat Orang Asli’ dinaikkan bertujuan untuk memberi kesedaran berhubung isu pembalakan haram hutan simpan di negeri Kelantan selain menuntut agar kerajaan mendengar tuntutan mereka.
Setiausaha JKOAK, Mustafa Along dalam ucapannya berkata, isu pembalakan di Gua Musang semakin menjadi-jadi dengan pihak berkuasa telah mengeluarkan notis supaya ‘blockade’ yang dibina mereka di Pos Gob dibuka selewatnya hari ini atau berdepan tindakan dirobohkan.
“Kuasa dan hasil hutan adalah di bawah kerajaan negeri, justeru, saya mewakili rakan-rakan di Gua Musang menuntut supaya kerajaan negeri tidak menghalang kami daripada mendapatkan hasil rezeki dari hutan tersebut dan menyusahkan kami.
“Malah kami tolak kerajaan zalim yang bertopengkan agama,” katanya.
Penyelaras JKOASM, Tijah Yok Chopil pula membangkitkan mengenai kesusahan yang dihadapi kaum Orang Asli ekoran pembalakan haram yang dijalankan kerajaan negeri dan menurutnya dikaut oleh ‘orang kaya-kaya’ dan kroni.
“Kehidupan kini semakin terhimpit. Ia bukan hanya dirasai oleh orang bandar, tetapi juga dirasai oleh Orang Asli. Walaupun orang kata kami tak payah itu tak payah ini tapi tekanan yang hebat dirasai oleh kami di hutan belantara sana.
“Sebab para kroni, para syarikat, orang kaya-raya yang duduk di bandar mereka mencari ‘wang’ di hutan belantara yang kami jaga,” katanya disambut dengan teriakan ‘kita lawan’ oleh peserta.
Wakil-wakil NGO Orang Asli itu kemudiannya bersama-sama peserta BERSIH 5 seramai kira-kira 3,000 bergerak menuju ke perkarangan Menara Berkembar Petronas, KLCC. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan