HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 November 2016

Bersih 5 aman, kenapa tutup jalan, kedai makan dan masjid?

MALAYSIA DATELINE
 
 
Sebahagian daripada peguam Amanah yang menjadi pemerhati di perhimpunan Bersih 5 pada 19 NovemberSebahagian daripada peguam Amanah yang menjadi pemerhati di perhimpunan Bersih 5 pada 19 November


Perhimpunan Bersih 5 terbukti mampu berlangsung secara aman jika tidak ada provokasi melampau daripada pihak tidak bertanggungjawab, kata ahli jawatankuasa Biro Undang-undang Amanah (Kanun) Dr Zulkarnain Lokman.

Namun katanya, lalu lintas terganggu di sekitar Kuala Lumpur dan jalan-jalan menuju pusat bandar kerana banyak jalan utama yang ditutup.

"Sepanjang tinjauan, saya dapati perhimpunan ini berlangsung dengan aman tanpa gangguan. Yang terganggu adalah trafik kerana banyak jalan ditutup. Saya tidak nampak keperluan untuk menutup sebegitu banyak jalan," katanya yang bertugas sebagai peguam pemerhati sepanjang perhimpunan semalam.

Beliau juga kesal dengan pengurusan Masjid Jamek yang menutup tempat ibadat itu menyebabkan orang Islam tidak boleh menunaikan solat Zohor di situ.

Sebaliknya Masjid India dibuka dan ramai peserta Bersih 5 menunaikan solat dan berehat termasuk memberishkan diri.

"Saya juga kesal kerana Masjid Jamek Melayu ditutup kepada orang Islam untuk menunaikan solat zohor.
Sedangkan Masjid India dibuka seluas-luasnya dan para jamaah bebas untuk bersuci, beristirehat dan solat.

"Ini adalah kerugian kepada Masjid Jamek Melayu kerana saya lihat ramai juga jemaah memberikan sumbangan kepada tabung derma masjid. Saya pasti tabung Masjid India bertambah berlipat kali ganda daripada hari biasa," ujarnya.

Selain itu katanya, tiada keperluan bagi peniaga khususnya peniaga kedai makan menutup perniagaan mereka semalam kerana ia ternyata merugikan.

"Saya juga lihat banyak kedai yang ditutup. Ini juga kerugian kepada peniaga itu sendiri khasnya peniaga makanan dan minuman. Semua meja penuh hari ini (Semalam). Malah, pagi tadi (semalam), restoran di KTM Kuala Lumpur telah kehabisan roti canai.

"Oleh itu, saya tidak faham kenapa kedai-kedai itu perlu ditutup sedangkan pelanggan berpotensi berduyun-duyun lalu di hadapan kedai masing-masing," katanya.

Perhimpunan semalam yang dianggarkan disertai hampir 50,000 orang bermula jam 10 pagi bermula di Bangsar dan Masjid Negara.

Bagaimanapun peserta perhimpunan tidak dibenarkan menghampiri Dataran Merdeka menyebabkan penganjur membuat keputusan untuk ke KLCC.

Ia berakhir di KLCC dengan aman selepas pidato beberapa pemimpin Bersih dan pemimpin politik termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tiada ulasan: