Justeru katanya, sesebuah parti boleh mendakwa apa sahaja termasuk menyapu bersih semua kerusi yang dipertandingkan kerana yang membuat keputusan adalah rakyat.
"Bagi kita, yang penting itu rakyat. Kita ini datang daripada rakyat. Apa yang kita buat hari inipun daripada rakyat, semuanya untuk kepentingan rakyat. Jadi kepada mereka yang taksub dengan mengatakan boleh menang dengan sendiri, itu hak dia," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Darell Leiking yang mendakwa Warisan mampu menyapu bersih 73 kerusi dewan undangan negeri dan 25 kerusi Parlimen di Sabah untuk membentuk kerajaan pada PRU-14 akan datang.
Mengulas lanjut, Madius berkata beliau percaya rakyat bijak memilih.
Katanya Barisan Nasional (BN) dengan 13 parti komponen, sudah bekerjasama dengan baik sejak sekian lama melalui perkongsian kuasa atas kesedaran tidak ada satu parti mampu memerintah sendiri.
Justeru, kata Madius, rakyat boleh menilai pencapaian BN dalam mentadbir negara meskipun ada pihak yang sentiasa memutarbelitkan usaha kerajaan di bawah BN.
"Ada pihak kata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ini rasuah. Kalau diambil salah dan sebagainya. Tahun ini kerajaan luluskan RM6.8 bilion untuk BR1M. Bayangkan seorang dapat RM1,200. Ini adalah untuk semua. Kebaikan untuk semua. Jadi kerajaan BN bersama-sama dengan rakyat merasai bebanan hidup rakyat. Kita buat yang terbaik," katanya.
Madius berkata sistem percukaian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan juga tidak terkecuali daripada sasaran putar belit pihak pembangkang yang mendakwa kononnya sistem itu membebankan dan merompak wang rakyat.
Bagaimanapun katanya semua dakwaan berkenaan terbukti tidak benar kerana duit yang diperoleh kerajaan telah dikembalikan kepada rakyat melalui perkhidmatan pada kadar rendah seperti bayaran RM1 untuk pendaftaran hospital selain dapat mengekalkan pendidikan percuma.
Malah kata Madius, pihak pembangkang yang dahulunya menentang GST kini bersetuju akan kebaikan sistem percukaian itu kepada rakyat dan negara.
"Jadi, apa yang dibuat oleh BN barangkali tidak popular pada satu ketika, tetapi apa yang kita buat ini adalah suatu yang betul untuk rakyat, untuk negara kita, untuk kemakmuran kita. Jadi rakyat sendiri dapat menilai siapa yang hanya bercakap (tapi tak buat) dan mana satu pemimpin bercakap dan dia buat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan