HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Januari 2017

Fernandes merungut ketua Tourism Malaysia 'seksa' AirAsia

MALAYSIAKINI


Bos AirAsia Tony Fernandes hari ini membidas Pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keong berhubung satu insiden yang didakwanya sebagai satu serangan ke atas syarikat penerbangan tambang murah itu.

Ini berikutan laporan bahawa Wee didakwa hilang sabar dan memusnahkan sepanduk AirAsia yang terletak di ruang pameran Malaysia di Ekspo Pelancongan Antarabangsa Beijing (Bite) Jumaat lalu.

"Selama bertahun-tahun, orang ini telah menyeksa kami. Kami tidak tahu mengapa. Banyak kali telah menjemputnya untuk melawat AirAsia Allstars.

"Tetapi ini sudah melampau. AirAsia bawa paling ramai pelancong China. Anda jadi hakim apa yang betul dan apa yang salah," kata Fernandes di Facebook.

Posting itu disertai rakaman artikel mengenai kejadian membabitkan Wee itu.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Wee untuk ulasannya.

Ketua Tourism Malaysia adalah pengkritik lantang AirAsia dengan menuduhnya sebagai berhutang RM50 juta dalam cukai lapangan terbang.

Syarikat penerbangan bajet itu tahun lalu mengheret Wee ke mahkamah kerana memfitnah mereka di blog post kerana membuat tuduhan sedemikian.

Tiada ulasan: