HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Januari 2017

Serik dikhianati, PAS enggan sambut huluran salam DAP - Khairuddin

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS tidak akan menjerat dirinya sekali lagi dalam 'permainan' politik DAP, demikian tegas Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
 
Ujarnya, huluran salam DAP menerusi Penasihatnya Lim Kit Siang dengan 'kata-kata' mahu menyelamatkan Malaysia hanya sekadar menabur janji.
 
Bukan itu sahaja, sikap rasis DAP ketika mereka menjalin kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR) suatu ketika dahulu membuatkan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu serik untuk 'menyambut salam' daripada DAP.
 
"Lim Kit Siang tidak perlu bermadah dengan kata-kata mahu menyelamatkan Malaysia. Pengkhianatan DAP terhadap PAS ketika dalam PR sudah cukup sebagai isyarat bahawa DAP bukan rakan politik yang baik bagi menggantikan BN dan menyelamatkan Malaysia. Agenda anti-Islam DAP juga tidak mungkin dapat diterima oleh PAS. 
 
"DAP boleh mengajak mana-mana parti yang boleh berkompromi dengan dasar sosialis dan pragmatik DAP, khususnya Amanah yang merupakan serpihan PAS yang setia kepada DAP," demikian menurut kenyataan Khairuddin.
 
Tegasnya lagi, meskipun tidak bergabung dengan DAP, PAS tetap komited untuk melawan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.
 
Respon itu diberikan selepas Kit Siang pada semalam memaklumkan partinya boleh bekerjasama sekali lagi jika Hadi bersedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia.
 
Hubungan PAS-DAP terputus selepas parti dominasi Cina itu berulang kali menyerang hasrat PAS bersabit pelaksanaan Kanun Keseksaan Syariah di Kelantan pada 2015.
 
Ia membawa kepada terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) pada 2015. Namun kemudian Pakatan Harapan (PH) dibentuk pada 2016 lalu dengan dianggotai PKR, DAP dan Amanah, parti serpihan PAS.
 
PH kini bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menentang BN.
 
Kit Siang, pada semalam juga berkata DAP tiada masalah bekerjasama dengan parti yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun ada beberapa perkara yang tidak dipersetujui.
 
Dalam perkembangan terbaru Dr Mahathir memberigambaran bahawa partinya enggan menunggu PAS dalam kerjasama politik pembangkang, sekaligus ingin menyertai PH secara rasmi sebagai salah satu komponen gagasan itu.
 
 

Tiada ulasan: