HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Januari 2017

Isu kerusi selesai jika Amanah, DAP bergabung - PAS


Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berpendapat kewujudan dua pakatan pembangkang dalam arena politik negara akan melemahkan lagi penguasaan Barisan Nasional (BN).
 
Menafikan tuduhan Amanah bahawa blok ketiga merupakan proksi BN dalam usaha melemahkan pakatan pembangkang, tegas Iskandar, ia tuduhan yang jauh tersasar kerana PAS masih teguh di platform pembangkang.
 
"Tuduhan terkini dari pemimpin PAN (Amanah) adalah blok ketiga merupakan proksi BN untuk melemahkan pembangkang. Tuduhan ini seperti banyak tuduhan-tuduhan dan dakwaan-dakwaan parti itu adalah meleset.
 
"Sekiranya terdapat dua pakatan pembangkang maka serangan-serangan terhadap BN akan bertambah," kata Iskandar dalam satu kenyataan hari ini.
 
Pesuruhjaya PAS Selangor itu turut berkata dengan adanya dua pakatan pembangkang, maka lebih banyak pendedahan penyelewengan-penyelewengan BN yang akan dapat dilakukan oleh pembangkang termasuklah PAS sendiri.
 
"Ini tidak mungkin akan menguatkan BN tetapi disebaliknya akan melemahkannya," ujarnya lagi.
 
PAS menubuhkan blok ketiga yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera (GAGASAN) bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), manalaka parti serpihannya Amanah kini menyertai PKR dan DAP bagi membentuk Pakatan Harapan (PH). 
 
GAGASAN dibentuk ekoran keengganan PAS enggan menyertai PH yang dianggotai dua seterunya, DAP dan Amanah.
 
Terdahulu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata beberapa parti yang membentuk 'blok ketiga' adalah alat untuk memecah-belahkan pembangkang.
 
Dakwa Salahuddin, gagasan itu terhasil daripada suatu perancangan sulit dan rapi pihak yang berkenaan selepas PH kian mendapat sambutan daripada rakyat.
 
Malah menurut Salahuddin, kewujudan blok ketiga itu dijangka boleh memberi 'sumbangan' kepada kemenangan BN.
 
Dalam pada itu, Iskandar bertegas PAS tidak harus dipersalahkan sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru di kawasan yang ditandingi PAS pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kelak.
 
"Apabila berlaku tiga penjuru kerana parti Pakatan Harapan memasuki kawasan yang dimenangi oleh PAS atau kawasan yang ditandingi oleh PAS pada pilihan raya umum yang lepas, tidak wajar untuk menuding jari kepada PAS.
 
"Adalah tidak masuk akal PAS yang bersalah apabila parti-parti lain yang mengacau kerusi PAS. Tambahan pula jika konsep dua penjuru ini tidak lagi dihormati oleh parti-parti lain maka kenapa pula PAS perlu menghormatinya?" soal Iskandar.
 
Sebaliknya Iskandar mencadangkan agar Amanah bergabung dengan DAP ekoran kehadiran parti serpihan itu menimbulkan kecelaruan kepada suasana politik negara.
 
"Saya mencadangkan agar PAN (Amanah) bergabung dengan DAP kerana mereka kelihatan lebih rapat dengan DAP.
 
"Jika ini berlaku, maka pemimpin-pemimpin PAN (Amanah) boleh diperuntukkan kerusi selamat DAP dan ini akan menyelesaikan banyak masalah," katanya lagi. 
 
Sehingga hari ini, PAS kekal dengan keputusan untuk tidak menyertai PH dan kekal bersama GAGASAN.
 
Malah parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu masih belum memberi kata putus bersabit kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
PPBM pada 13 Disember lalu mengikat kerjasama politik dengan PH, bagaimanapun memberi bayangan untuk 'meninggalkan' PAS ekoran tindakan tarik tali parti itu. 
 
 

Tiada ulasan: