KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM) menegaskan rawatan terapi ozon yang melibatkan penggunaan mesin
terapi ozon, suntikan ke dalam saluran darah dan darah tersebut diproses
menggunakan mesin tersebut merupakan rawatan yang tidak diiktiraf.
Menterinya, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata, terapi
ozon juga tidak memberikan sebarang manfaat kesihatan malah rawatan
tersebut boleh membahayakan nyawa akibat komplikasi perubatan termasuk
punca kematian.
“Terapi tersebut mendedahkan pengguna kepada risiko
pendarahan daripada penggunaan heparin, embolism (penyekatan salur darah
oleh gelembung udara), jangkitan kuman akibat peralatan yang tidak
steril dan kehilangan upaya yang kekal berpunca daripada kegagalan organ
seperti buah pinggang.
“KKM mendapati terapi ozon ini adalah disediakan di
pelbagai jenis premis perniagaan termasuk klinik, salun kecantikan dan
ianya dikendalikan oleh profesional jagaan kesihatan dan orang yang
tidak berkelayakan,” kata Subramaniam dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan Penilaian Teknologi Kesihatan oleh Cawangan
Penilaian Teknologi Kesihatan KKM (MaHTAS), tiada bukti saintifik yang
menyokong sebarang manfaat terapeutik penggunaan terapi ozon bagi
mana-mana penyakit.
“Maka, KKM mengambil serius perkara ini dan
pengawalseliaan terapi ozon ini perlulah mengikut ketetapan perundangan
perubatan sedia ada,” katanya.
Tambahnya, ia perlu selaras dengan ketetapan Seksyen 2 dan 5, Akta Peranti Perubatan 2012 [Akta 737].
Malah mesin terapi ozon ditafsirkan sebagai suatu peranti
perubatan yang perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan
(Medical Device Authority (MDA)).
Jika tidak didaftarkan ia perlu ditarik semula pengedaran
serta penggunaan mesin tersebut dari pasaran, selewat-lewatnya 1 Julai
2017.
“Mana-mana establismen, pembuat, pengimport atau pengedar
mesin terapi ozon yang mengimport, mengeksport atau meletakkan dalam
pasaran apa-apa mesin terapi ozon perlu memohon lesen establismen dan
pendaftaran peranti di bawah Akta 737 dengan MDA,” tegasnya.
Kegagalan mematuhi ketetapan tersebut boleh menyebabkan
tindakan perundangan diambil dan disabitkan denda tidak melebihi
RM200,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.-
Malaysia Gazette.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan