Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Siapa
kacau siapa? PAS mengacau peluang kemenangan pilihan raya Pakatan
Harapan atau pakatan itu sebenarnya yang “menaja” Parti Amanah Negara
untuk mengacau PAS mencapai cita-citanya memenangi pilihan raya umum
sendirian?
PAS memilih untuk bergerak bersama dua parti politik kecil Berjasa dan
Ikatan Rakyat Malaysia serta beberapa Badan Bukan Kerajaan yang digelar
Gagasan Sejahtera bagi menghadapi PRU 14 akan datang.
Bersandarkan konsep ‘matang dan sejahtera’ PAS jelas siapa saingannya
dalam menawarkan khidmat politik pada negara dan rakyat Malaysia.
Pertama sekali PAS mempersiapkan diri menentang dan merobohkan monopoli
kuasa Umno-BN.
Kemudian ia mensasarkan bergelut dengan DAP yang sentiasa mencurigai
perjuangan Islamnya dan fobia pada apa jua ciri perjuangan Islam.
Setelah itu PAS sentiasa berhati-hati terhadap Amanah yang
‘mengkhianati’ perjuangannya.
Perihal PKR, akar umbi PAS sudahpun menyuarakan ketidakpercayaan mereka
terhadap parti pimpinan Anwar Ibrahim yang dilihat cenderung pada
pemikiran liberal dan terbukti tidak menyokong perjuangan Islamnya.
Sementara itu PAS melihat PPBM parti yang dipasung rasa dendam. Ia cuma
mahu menyemarakkan kemarahan rakyat pada kerajaan supaya rasa benci
melimpah dan membakar hegemoni kerajaan Umno-BN.
Melihat ketegaran PAS yang enggan bekerjasama demi menjayakan politik
kemenangan yang diidamkannya, parti-parti pembangkang bersilih ganti
mula menyerang PAS.
Sisi utama yang ditumpukan ialah menumpulkan rekod cemerlang dan bersih
PAS di segi integritinya. Penasihat PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mula
menyebarkan dakyah bahawa pimpinan PAS kini menerima dedak politik
daripada Umno.
Taburan dakwaan itu diharap melata dan sebelum ia mendap di hati
rakyat, PKR pula melangkah ke tengah gelanggang dengan mengemukakan apa
yang kononnya “bukti” bahawa PAS menerima dedak jutaan ringgit melalui
orang tengah.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengemukakan akuan bersumpah kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa kononnya orang
tengah yang menyampaikan dedak itu ialah Datuk Nasharuddin Mat Isa,
bekas Timbalan Presiden PAS.
PAS juga berjanji akan menggerakkan tindakan saman Rafizi. PAS yakin
Rafizi cuma mahu mengumpul markah politik dan menggapai cita-cita
politik jangka pendek partinya seperti mana beliau pernah mendakwa bekas
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim terpalit rasuah hanya
untuk menurunkan beliau dari kerusi Menteri Besar.
Yang nyata PAS ada acara, pemikiran dan strategi sendiri untuk
menghayati politik Islam yang diidamkan. Maka bagaimana pula ia boleh
dituduh pengacau? PAS tahu ada ruang untuknya berpolitik caranya
sendiri.
Namun apabila setiausaha agung Amanah Mohd Anuar Tahir mendakwa PAS
pengacau cara DAP, PKR, PPBM dan Amanah berpolitik, maka ia menyerlahkan
betapa rupanya Amanah benar ditaja oleh pihak-pihak tertentu.
Ini mengingatkan umum kepada kertas siaran A4 yang membuat pelbagai
tuduhan mengenai cara hidup dua pemimpin PAS berdasarkan kereta mewah
mereka.
Sindiran Mat Sabu remeh jika dibandingkan dengan penampilan Amanah
sejak setahun lalu sebagai sebuah parti oren yang lengkap dan moden
dengan pendekatan pengurusan yang mewah.
Daripada mana pula G-18 (bekas pemimpin PAS yang membentuk Amanah)
mengumpul dana yang begitu besar hingga ‘mengkerdilkan’ penampilan PAS
yang umumnya dilihat jauh lebih miskin?
Maka bermula daripada PPBM yang mendakwa PAS makan dedak, hingga PKR
yang menokok dengan akuan bersumpah PAS memang ada menerima dedak
hinggalah parti kenit, Amanah menyindir ada pemimpin PAS kaya, ia adalah
simpulan hasad membenci PAS.
PAS mahu terus menasihati, berdakwah dan menawarkan khidmat kepemimpinan Islam pada ummah. Pegangan tuntas:
“Dan ingatlah ketika suatu umat di antara mereka berkata: ‘Mengapa kamu
menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka dengan azab yang amat
keras?’. Mereka menjawab: ‘Agar kami mempunyai alasan (pelepasan
tanggungjawab dengan Tuhanmu dan supaya mereka bertakwa’”. Al A’araf:
164)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan