Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Tidak timbul isu apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu
Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memegang plakad ‘Anwar PM ke-7’,
demikian kata Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Dr Mahathir yang tidak turut
sama mengangkat plakad, yang dilihat ramai pihak sebagai satu signal
mantan Perdana Menteri itu tidak bersetuju Anwar diangkat menjadi
Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) nanti.
“Taklah, saya rasa bukan isu sokong (atau) tak sokong, Tun kata dia
ambil gambar pada hari itu,” ulasnya ringkas kepada Antarapos hari ini.
Pada Kongres Nasional PKR, Ahad lalu, gelagat Dr Mahathir, Presiden Tan
Sri Muhyiddin Yassin dan timbalan presidennya, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir mencuri tumpuan ramai apabila tidak turut serta mengangkat
plakad 'Anwar PM ke-7'.
Dr Mahathir sebaliknya dilihat memegang telefon pintarnya dan merakam
perwakilan yang mengangkat plakad, manakala pula Muhyiddin sekadar
bertepuk tangan.
Sementara itu Mukhriz yang ditemui pemberita kemudiannya berkata, nama
calon perdana menteri ke-7 akan dibawa ke dalam perbincangan Pakatan
Harapan (PH) pada sesi akan datang.
Mengulas lanjut, Xavier menegaskan soal penentuan calon Perdana Menteri
yang bakal mewakili gabungan pembangkang akan diputuskan semua parti
komponen PH kelak.
“Saya rasa saya biarkan kepada Pakatan Harapan untuk buat keputusan siapa nak jadi Perdana Menteri.
“Pada pendapat saya dari mula ialah kita tunggu lepas PRU tengok parti
mana yang ada kerusi lebih, lepas itu kita boleh buat rundingan, pada
waktu itu kita boleh tentukan siapa jadi Perdana Menteri," ulasnya.
Sehingga kini, PH masih belum menamakan calon yang akan menduduki
jawatan tertinggi itu walaupun acap kali didesak oleh pelbagai pihak.
PKR bagaimanapun konsisten untuk mengangkat Ketua Umum mereka yang
sedang menjalani hukuman penjara sebagai calon Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan