HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Mei 2017

Zaid Ibrahim kelana politik yang polos

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Datuk Zaid Ibrahim yakin beliau adalah seorang peguam dan pemikir berkelas tinggi. Malah hampir semua gerakan dan parti politik di Malaysia (mungkin terkecuali DAP) tidak tergapai ketinggian fakulti pemikirannya.
 
Justeru itu, tidak usahlah PAS atau mana-mana parti politik lain berasa tersinggung akan kritikan atau tegurannya terhadap aliran dan cara pemikiran politik mereka. 
 
Bagi Zaid, tidak ada orang politik, peguam atau pemimpin lebih hebat daripadanya. Kelana politiknya sahaja boleh mengesahkan kenyataan ini. Bermula dengan Umno, Zaid mendapati pemikirannya lebih hebat daripada pemimpin Umno ketika itu.
 
Semasa dalam Umno, Zaid meletakkan dirinya lebih hebat dan jernih pemikiran politiknya berbanding pemimpin lain. Malah Umno dianggapnya menganuti idealisme lebih mundur daripadanya. 
 
Zaid melihat ruang kebebasan yang diberikan oleh Umno kepadanya sebagai menteri sebagai tidak memadai. Maka Zaid pun menyimpulkan Umno tidak sesuai untuk menjadi platform perjuangannya dan meninggalkan parti itu.
 
Zaid kemudian menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah kepemimpinan Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digeruni oleh kawan dan lawan.
 
Zaid perdayakan Anwar 
 
Beliau kelihatan berjaya meyakinkan Anwar akan kecerdasan mindanya yang amat liberal dan boleh menjadi daya tarikan bagi pengundi yang berfikiran luas dan moden.
 
Maka Anwar mengangkatnya menjadi calon PKR dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor. Bukan main yakinnya Anwar mendapat calon yang berkaliber seperti Zaid.
 
Pilihan raya kecil (PRK) Hulu Selangor 2010 diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac 2010. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan pembuangan undi 25 April 2010.
Di dalam PRK ini Barisan Nasional diwakili calon Kongres India Malaysia (MIC), P. Kamalanathan yang berjaya menewaskan Zaid dengan majoriti 1,725 undi. 
 
Natijahnya rakyat Hulu Selangor dapat menghidu ‘kebongkakan’ pemikiran politik Zaid. Maka dengan ketewasan itu, gelombang kejayaan PRU 2008 Pakatan Rakyat yang menafikan Umno-BN majoriti dua pertiga di parlimen musnah. 
 
Adalah jelas, perwatakan politik Zaid tidak serasi dengan profil pengundi Hulu Selangor.
Namun Zaid tidak menganggap kekalahannya sebagai cerminan kelemahannya memahami hati budi rakyat. Yang dipersalahkan ialah keberkesanan jentera pilihan raya PKR. 
 
Oleh itu Zaid bertekad mahu membetulkan kekurangan dalam kepemimpinan PKR. Beliau bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dan berhadapan dengan ahli politik didikan PKR, Azmin Ali yang dianggap mentah.
 
Zaid kalah dan sekali lagi mempersalahkan jentera pengurusan pemilihan PKR. Bergema juga protesnya tetapi tidak berapa dilayan kerana PKR pun agak “muak” dengan egonya.
 
Zaid yakin beliau mampu terajui parti baru
 
Zaid keluar PKR dan membentuk partinya sendiri. Beliau mengambil alih parti politik yang tidak berapa aktif dan menjenamakannya semula sebagai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air atau KITA. 
 
Sebelum ini KITA dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) yang ditubuhkan pada 1995. Pada 15 Disember 2010, Zaid dilantik sebagai Ketua Parti dengan perlembagaan baru dan parti itu dilancarkan pada 19 Januari 2011 di Kuala Lumpur.
 
Sedihnya, dalam sebuah parti yang kurang aktif pun Zaid tidak mampu menyinar. Idea-idea politiknya kurang diterima oleh ahli parti yang amat terhad bilangannya.
 
Percubaannya untuk melonjakkan nama KITA di kalangan rakyat gagal menggapai imaginasi mereka dan partinya terus hanyut dalam pergolakan dalamannya sendiri. Zaid meletak jawatan sebagai Ketua Parti KITA pada 2012.
 
Zaid kemudian melalui proses uzlah (menyendiri) politik. Beliau mahu menjadi pemikir politik bebas. Dari masa ke masa beliau cuba melontarkan pemikiran berhubung isu semasa namun umumnya ia kurang diendahkan rakyat.
 
Akhirnya Zaid terpaksa melepaskan segala halangan budaya dan adat resam ahli politik Melayu. Beliau tidak mahu lagi bersopan ala-budaya Umno dan tidak mahu lagi bertingkah seorang intelek seperti dalam PKR.
 
Zaid juga malas mahu menatang sebuah parti politik yang kurang popular dan terlalu manja hingga terpaksa memperkenalkan hadiah dan saguhati untuk menarik keahlian.
 
Zaid nampak peluang dalam DAP
 
Peguam dari Kelantan kini mahu menunjukkan potensi sebenarnya. Yakin dengan ketajaman pemikiran dan darjah inteleknya, Zaid mahu bersaing di atas pentas politik pelbagai kaum sebenar. Beliau menyertai DAP.
 
Di segi politik Malaysia itu adalah jalan singkat untuk mendapat tempat dan kerusi yang agak empuk untuk ditandingi. Beliau percaya DAP akan mampu menempah kerusi sesuai untuknya.
 
Zaid mungkin berfikir ini mudah dicapainya kerana beliau orang Melayu. DAP pula kurang pemimpin dari keturunan Melayu. DAP mahu mengikis imejnya sebagai parti Cina. Pucuk dicita ulam pun tiba. Zaid diterima menganggotai DAP dengan meriahnya.
 
Bagaimanapun ada pihak di beberapa negeri mula memberi amaran pada DAP agar tidak meletakkan Zaid dan calon Melayu lain seperti Dr Aziz Bari bertanding di negeri majoriti Melayu. 
 
Ini kerana mereka bimbang jika mereka menang, mereka akan sesuai dikemukakan sebagai Menteri Besar atau Ketua Menteri jika DAP dapat menguasai majoriti Dewan Undangan Negeri-negeri berkenaan. DAP pernah terlepas meletakkan calon Menteri Besarnya di Perak.
 
Namun menjelang PRU ke 14, DAP mungkin juga melirik pada bukan sahaja Perak tetapi Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Jika DAP ada calon sesuai kerabatnya dalam Pakatan Harapan tidak boleh menolak jika ia benar-benar menguasai majoriti di kalangan PH.
 
Cuma kini bila berada dalam DAP, Zaid mesti meyakinkan rakan-rakan seperjuangan barunya bahawa DAP adalah parti terbaik untuk orang Melayu. Justeru tidak hairanlah jika Zaid cuba memperkecilkan peranan dan kewibawaan parti-parti Melayu lain.
 
Kelmarin beliau meremehkan PAS sebagai sebuah parti yang dianggapnya tiada kelas kerana tidak bijaksana memilih isu untuk muktamarnya. Walhal PAS ketika itu belumpun memulakan muktamar sepenuhnya, kerana sayap Muslimat, Pemuda dan Ulamanya baru membentangkan usul masing-masing.
 
Percayalah Zaid tidak akan berhenti setakat itu. Beliau akan terus cuba melebar dan membesarkan imej politiknya (untuk menjadi ahli DAP yang benar-benar berkhidmat) walaupun sebagai seorang pemimpin, bakat beliau sebenarnya polos. 


Tiada ulasan: